Jumat, 01 Juli 2011

Manifesto Komunis


 
Karl Marx dan Frederick Engels



Keterangan penerjemah


Manifesto Komunis diterbitkan buat kali pertama pada bulan Februari 1848, di London. Ia ditulis oleh Karl Marx dan Frederick Engels untuk Liga Komunis, sebuah pertubuhan pekerja penghijrah Jerman di beberapa negara Eropah Barat. Penerjemahan Manifesto Komunis dalam Bahasa Malaysia ini adalah penerjemahan kedua oleh Muhammad Salleh. Naskah untuk cetakan ini disediakan menurut Edisi Bahasa Inggeris, Manifesto of the Communist Party (Balai Penerbitan Bahasa Asing; Moskow, 1959) dan Edisi Bahasa Indonesia (Yayasan Pembaruan Parti Komunis Indonesia; Jakarta, 1959). Nota-nota dipetik dan diubahsuai dari kedua-dua edisi tersebut (beberapa nota ditambah sendiri oleh penerjemah edisi ini). Penerjemahan ini disediakan pada bulan Ogos 2003 untuk Parti Sosialis Malaysia.


Pengenalan


Pada tahun 1846, Karl Marx dibuang negeri dari Perancis kerana kegiatan politik radikal. Marx berpindah ke Belgium, di mana dia mencuba membina sebuah pertubuhan politik yang terdiri daripada para pekerja yang dibuang negara. Menyedari bahawa pertubuhan-pertubuhan yang serupa terdapat di beberapa negara lain, Marx menyeru pertubuhan-pertubuhan tersebut berhimpun pada musim sejuk 1847. Di bawah pengaruh Marx, perhimpunan parti-parti pekerja ini mengambil nama ‘Liga Komunis,’ lalu membincangkan masalah-masalah mereka berhubungan dengan kapitalisme dan tindakan yang patut diambil. Sambil kebanyakan daripada wakil parti-parti tersebut mengalu-alukan perpaduan sebagai penyelesaian bagi masalah yang dihadapi, Marx pula melaungkan retorik perjuangan kelas, iaitu bahawa kebebasan manusia hanya dapat dicapai melalui perubahan revolusioner. Lalu, Liga Komunis memberikan tanggungjawab kepada Marx, dan sahabat karibnya, Frederick Engels, untuk menulis kenyataan prinsip-prinsip bersama mereka, kenyataan yang kemudiannya dikenali sebagai Manifesto Komunis.

Manifesto tersebut diterbitkan pada bulan Februari 1848, dan diterbitkan dengan laju untuk meletuskan api revolusi yang membara di benua Eropah. Sambil naskah pertama karya tersebut mula dijual, revolusi telah meletus di hampir setiap bandar utama Eropah. Apabila revolusi meletus di Jerman pada bulan Mac 1848, Marx telah kembali ke tanahairnya untuk melibatkan diri dalam perjuangan revolusioner. Apabila revolusi ini dihancurkan oleh kelas pemerintah Jerman, Marx melarikan diri ke London. Liga Komunis akhirnya dibubarkan, tetapi Manifesto Komunis telah menjadi warisan terkenal Liga tersebut kepada dunia.

Manifesto Komunis telah mengalami kehidupan yang panjang dan masyhur. Walaupun ia tidak diberikan perhatian khusus di kalangan risalah-risalah yang diterbitkan pada pertengahan abad ke-19, ia kini diakui sebagai salah satu karya yang paling mempengaruhi sejarah intelek dan politik manusia. Lebih-lebih lagi, karya ini sudah lama menarik perhatian pembaca kerana ia dapat menjelaskan peristiwa-peristiwa dalam masyarakat manusia dengan baik. Ia adalah ini yang mengekalkan kandungan Manifesto Komunis sebagai sesuatu yang sangat penting bagi masyarakat moden, walaupun beberapa tokoh dan peristiwa yang dirujuk kepada sudah lama meninggal dunia atau berlalu. Lebih-lebih lagi, karya ini telah menjadi ilham bagi pelbagai gerakan pekerja di merata dunia, dari Amerika Selatan ke Eropah, Afrika ke Asia Tenggara. Dari segi intelek pula, karya Marx dan Engels ini telah mempengaruhi hampir setiap bidang pelajaran dari falsafah ke sains sosial, dan juga sains semulajadi. 

Tetapi di kalangan badan kesusasteraan besar yang dihasilkan oleh Marxsisme, Manisfesto Komunis merupakan karya yang unik. Walaupun agak pendek berbanding dengan karya-karya Marx yang lain, ia berjaya menjelaskan bagaimana sistem kapitalisme mutakhir bangkit dari masyarakat feudal, lalu meletuskan krisis revolusioner dalam masyarakat ini sambil kelas-kelas baru bertempur dengan kelas lama. Tetapi ia juga menjelaskan bagaimana pertumbuhan kapitalisme sememangnya melahirkan kaum yang akan membawa penumbangannya, iaitu kelas pekerja. Kerana kapitalisme memusatkan kaum pekerja di tempat-tempat bekerja besar, ia memberikan mereka potensi untuk berjuang secara kolektif demi kepentingan mereka. Ini tidak bermakna bahawa kelas pekerja berjuang menentang kapitalisme dalam cara revolusioner pada setiap waktu. Sebaliknya, “Idea-idea berkuasa dalam setiap zaman sentiasanya adalah idea-idea kelas pemerintah,” Marx dan Engels berkata. Meskipun itu, dinamik kapitalisme membolehkan kaum pekerja mendalam kesedaran kelas, lalu menciptakan kemungkinan bagi perubahan revolusioner.

Walaupun perdebatan asas dalam Manifesto Komunis agak mudah untuk difahami, beberapa nota mungkin diperlukan di sini. Pertama sekali adalah kekeliruan yang seringkali diutarakan berkenaan dengan perkataan ‘komunis.’ Bagi Marx dan Engels pada tahun 1840s, komunisme mungkin dapat disamakan dengan apa yang kini dikenali sebagai sosialisme dari bawah, atau sosialisme revolusioner. Mereka sendiri berkata, “Segala gerakan bersejarah terdahulu adalah gerakan minoriti, atau untuk kepentingan minoriti. Gerakan proletariat adalah gerakan berkesedaran diri lagi bebas oleh majoriti demi kepentingan majoriti yang lebih luas.” Petikan ini menjadikannya mustahil untuk pihak sosialis pada hari ini untuk menyamakan wawasan Marx dan Engels dengan masyarakat yang wujud di bawah Rusia Stalinis, di Negara Cina, Korea Utara, Vietnam mahupun Kuba. Kesemua masyarakat ini tidak didasarkan pada aktiviti sendiri kelas pekerja dan kesemuanya gagal untuk mengakhiri penaklukan umat manusia kepada gejala akumulasi kapitalis.

Kedua, cadangan-cadangan yang Marx dan Engels mengutarakan dalam bahagian dua daripada Manifesto Komunis merupakan cadangan bagi gerakan sosialis pada tahun 1940-an. Ia tidak patut dianggap sebagai cadangan bagi gerakan mutakhir, pada masa apabila sistem kapitalis menguasai seluruh dunia. Akhir sekali, penghuraian jenis-jenis ‘sosialisme’ yang berlainan dalam bahagian tiga mungkin tidak dikenali oleh para pembaca. Walaupun kebanyakan kumpulan yang dirujuk kepada oleh Marx dan Engels tidak lagi wujud, apa yang penting untuk difahami adalah perbezaan yang pengarang tersebut menekan di antara ‘sosialisme dari atas,’ iaitu idea bahawa minoriti di puncak masyarakat dapat mengubah dunia bagi majoriti di bawah, dan ‘sosialisme dari bawah,’ iaitu bahawa pembebasan kaum pekerja mesti menjadi usaha kaum pekerja sendiri.

Ia kini tidak lagi dapat dinafikan bahawa Manifesto Komunis adalah di antara warisan dunia yang termasyhur, yang memberi perangsang kepada gerakan yang dapat mengubah dunia secara radikal, iaitu gerakan pekerja revolusioner. Seperti yang pernah dikatakan oleh Marx dalam Tesis Mengenai Feuerbach, “Ahli-ahli falsafah hanya telah mentafsirkan dunia dengan pelbagai cara; persoalannya adalah untuk mengubah dunia.”

 Muhammad Salleh
London, 15hb Ogos 2003.

Keterangan kepada Edisi Inggeris tahun 1888[1]

Manifesto Komunis ini diterbitkan sebagai pelantar bagi Liga Komunis, iaitu sebuah pertubuhan kelas pekerja, pertama sekali bagi rakyat Jerman, dan kemudiannya bagi rakyat antarabangsa, dan akibat keadaan politik di Benua Eropah sebelum tahun 1848, sebuah pertubuhan sulit. Semasa mesyuarat agung Liga tersebut, yang diadakan di London pada bulan November 1847, Marx dan Engels diberikan tanggungjawab untuk menyediakan untuk penerbitan rancangan teori dan amalan parti yang lengkap. Ditulis dalam Bahasa Jerman pada bulan Januari 1848, manuskrip tersebut dihantar kepada seorang pencetak di London beberapa minggu sebelum revolusi Perancis pada 24hb Februari. Penerjemahan dalam Bahasa Perancis dikeluarkan di Paris, sebelum pemberontakan pada bulan Jun 1848.[2] Penerjemahan ke dalam Bahasa Inggeris yang pertama, oleh Cik Helen MacFarlane, diterbitkan dalam Red Republican, London pasa tahun 1850, oleh George Julian Harney. Penerjemahan dalam Bahasa Denmark dan Poland juga disediakan.

Kekalahan pemberontakan bulan Jun 1848 di Paris – iaitu pertempuran besar yang pertama di antara kaum proletariat dan borjuasi – memaksa hasrat sosial dan politik kelas pekerja Eropah ke latarbelakang, buat sementara waktu. Selepas itu, perjuangan demi kuasa sekali lagi berlangsung di antara bahagian-bahagian kelas berhart, sebagaimana sebelum revolusi Februari; kelas pekerja dipaksa berjuang untuk ruang politik sampingan dan dihadkan kepada sayap pelampau pada kumpulan kelas menengah yang radikal. Di mana-mana gerakan proletariat bebas terus menunjukkan tanda-tanda kehidupan, mereka dihancurkan dengan kejam. Maka, pihak polis memburu Majlis Pusat Liga Komunis, yang pada masa itu bertapak di Cologne. Ahli-ahlinya ditahan, dan selepas pemenjaraan selama lapan belas bulan, mereka didakwa pada bulan Oktober 1852. ‘Kes Komunis Cologne’ terkenal ini berlangsung dari 4hb Oktober sehingga 12hb November; tujuh daripada tahanan itu dihukum penjara di sebuah kubu, di antara tiga sehingga enam tahun. Sejurus selepas hukuman itu, Liga Komunis dibubarkan secara rasmi oleh ahli-ahli yang tinggal. Berkenaan dengan Manifesto, ia seolah-olah karya ini tidak mempunyai harapan untuk terbitan.

Apabila kelas pekerja Eropah berjaya merangkul kekuatan yang mencukupi untuk menyerang kelas-kelas pemerintah sekali lagi, Pertubuhan Pekerja Antarabangsa diasaskan. Tetapi pertubuhan ini, yang diasaskan dengan matlamat meleburkan seluruh proletariat militan di Eropah dan Amerika ke dalam satu badan luas, tidak dapat melaungkan prinsip-prinsip yang diteraskan dalam Manifesto secara terbuka. Pertubuhan tersebut terpaksa mengutarakan rancangan yang cukup luas untuk diterima oleh kesatuan-kesatuan pekerja Inggeris, oleh pengikut-pengikut Proudhon[3] di Perancis, Belgium, Itali dan Spanyol, dan oleh pengikut Lassalle[4] di Jerman.

Marx, yang menulis rancangan ini bagi keperluan setiap pihak, berpegang kuat kepada perkembangan intelek kelas pekerja, yang sudah tentu berkembang dari tindakan dan perbincangan bersama. Peristiwa-peristiwa dan pergolakan dalam perjuangan menentang kapital, kekalahan lebih daripada kemenangan, menunjukkan kepada ahli-ahlinya kelemahan pendekatan mereka, lalu menyediakan jalan bagi pendekatan yang lebih terperinci demi pembebasan kelas pekerja. Dan Marx memang tepat. Pertubuhan itu, selepas dibubarkan pada tahun 1874, meninggalkan para pekerja dalam keadaan yang agak berbeza daripada tahun 1864. Proudhonisme di Perancis, Lassalleanisme[5] di Jerman semakin pupus, dan malah kesatuan-kesatuan pekerja Inggeris yang konservatif, walaupun sudah lama memotong hubungan dengan Pertubuhan kita, semakin maju ke tahap di mana, tahun lalu di Swansea, presiden mereka dapat berucap sebagai wakil mereka bahawa, “Sosialisme Kebenuaan tidak lagi menakutkan kami.” Sebenarnya, prinsip-prinsip Manifesto semakin dipupuk oleh keles-kelas pekerja di setiap negara.

Maka, Manifesto ini semakin mendapat perhatian sekali lagi. Penerjemahan Bahasa Jerman, sejak tahun 1850, telah dicetak semula beberapa kali di Switzerland, England dan Amerika. Pada tahun 1872, ia diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris di New York, di mana ia diterbitkan dalam Woodhull and Claflin’s Weekly. Dari versi Inggeris tersebut, penerjemahan ke dalam Bahasa Perancis disediakan bagi Le Socialiste di New York. Sejak itu, sekurang-kurangnya dua penerjemahan ke dalam Bahasa Inggeris, yang tidak lagi tepat, telah dikeluarkan di Amerika, dan salah satu daripadanya telah dicetak di England. Penerjemahan dalam Bahasa Rusia yang pertama, oleh Bakunin,[6] diterbitkan di pejabat Kolokol milik Herzen di Geneva, pada tahun 1863; penerbitan kedua juga dikeluarkan, oleh Vera Zasulich,[7] juga di Geneva, pada tahun 1882. Edisi Bahasa Denmark dapat ditemui dalam Socialdemokratisk Bibliothek, Copenhagen, 1885; penerjemahan Bahasa Perancis baru terdapat dalam Le Socialiste,[8] Paris, 1885. Dari penerjemahan terakhir ini, versi dalam Bahasa Spanyol disediakan dan diterbitkan di Madrid, pada tahun 1886. Cekatan semula dalam Bahasa Jerman tidak terkira – terdapat sekurang-kurangnya dua belas cetakan. Penerjemahan dalam Bahasa Armenia, yang sepatutnya diterbitkan di Konstantinople beberapa bulan yang lalu, tidak muncul, saya diberitahu, kerana penerbitnya berasa takut mengeluarkan buku dengan nama Marx, sambil penerjemah enggan menggunakan namanya sendiri. Saya pernah mendengar mengenai penerjemahan-penerjemahan yang lain, tetapi saya belum melihatnya. Maka, sejarah Manifesto mencerminkan sejarah gerakan kelas pekerja moden; pada ketika ini, ia sudah pasti merupakan karya sosialis yang paling luas disebarkan, dan yang paling bersifat antarabangsa, lalu menjadi pelantar umum yang diakui oleh pekerja-pekerja dari Siberia ke Kalifornia.

Namun, pada masa apabila ia ditulis, kami tidak dapat memanggilnya sebuah manifesto sosialis. Istilah Sosialis, pada tahun 1847, difahami, dalam satu tangan, sebagai pengikut sistem-sistem Utopia yang berlainan: pengikut Owen di England, Fourier di Perancis, di mana masing-masing merupakan kumpulan yang semakin pupus; dalam tangan sebelah, pelbagai penganut sosial, yang melalui pelbagai cara pemikiran, berjanji menyelesaikan pelbagai masalah, tanpa menghancurkan kapital dan keuntungan; dalam kedua-dua kes ini, ia diterajui oleh mereka yang berada di luar gerakan kelas pekerja, dan yang mengalih pandangan kepada kelas-kelas ‘berpendidikan’ bagi sokongan. Bahagian kelas pekerja yang menyedari kelemahan revolusi politik sahaja dan melaungkan keperluan perubahan sosial yang meyeluruh, kemudiannya memanggil diri mereka sebagai komunis. Ia adalah sejenis komunisme yang kasar, dijahit dengan buruk, dan berdasarkan naluri semata-mata; namun, ia menyentuh tahap penting dan cukup berkuasa di kalangan kelas pekerja untuk menghasilkan komunisme Utopia Cabet di Perancis dan komunisme Utopia Weitling di Jerman. Maka, sosialisme pada tahun 1847 merupakan gerakan kelas menengah; komunisme pula merupakan gerakan kelas pekerja. Sosialisme, sekurang-kurangnya di benua Eropah pada masa itu, merupakan sesuatu yang ‘dihormati’; Komunisme pula bertentangan dengan itu. Dan kerana konsep kami, dari awal lagi, adalah bahawa “pembebasan kelas pekerja mesti menjadi tindakan kelas pekerja sendiri,” tidak terdapatnya keraguan akan nama yang bakal dipilih. Lebih-lebih lagi, kami tidak pernah menafikan konsep komunisme itu.

Walaupun Manifesto ini adalah hasil penulisan kami berdua, saya perlu mengatakan bahawa prinsip asas, yang menjadi nukleus karya ini, adalah kepunyaan Marx. Prinsip tersebut adalah: bahawa dalam setiap zaman bersejarah, cara pengeluaran dan pertukaran ekonomi yang sedia ada, dan pengaturan sosial yang muncul daripadanya, adalah dasar di mana dapat dibina, dan yang dapat menjelaskan, sejarah politik dan intelek zaman tersebut; bahawa, akibat ini, seluruh sejarah umat manusia (sejak pembubaran masyarakat primitif yang memegang tanah dalam pemilikan bersama) adalah sejarah perjuangan kelas, pertandingan di antara mereka yang mengeksploitasi dan mereka yang dieksploitasi, kelas pemerintah dan kelas yang ditindas; bahawa sejarah perjuangan kelas ini mewujudkan siri evolusi di mana, pada hari ini, sebuah tahap telah dicapai di mana kelas yang dieksploitasi dan ditindas – iaitu proletariat – tidak dapat mencapai pembebasan dari kelas pengeksploitasi dan pemerintah – iaitu borjuasi – tanpa, pada masa yang sama, dan buat selama-lamanya, membebaskan masyarakat daripada segala pengeksploitasian, penindasan, perbezaan kelas dan perjuangan kelas.

Prinsip ini, yang pada pendapat saya, ditakdirkan mengubah sejarah sebagaimana teori Darwin telah mengubah biologi, telah kami berdua mendekati selama beberapa tahun sebelum tahun 1845. Sejauh mana saya telah bergerak dengannya dihuraikan dengan baik oleh karya saya bertajuk Keadaan Kelas Pekerja di England.[9] Tetapi apabila saya bertemu sekali lagi dengan Marx di Brussels pada musim bunga tahun 1845, dia sudah meneliti, dan menulisnya sebelum saya, dalam konsep-konsep yang sejelas huraian saya di sini.

Dari keterangan bersama kami dalam edisi Jerman pada tahun 1872, saya memetik petikan yang berikut:

Walau betapa banyaknya keadaan mungkin telah berubah dalam dua puluh lima tahun yang lalu, prinsip-prinsip asas yang diteraskan dalam Manifesto ini adalah, secara umumnya, setepat pada hari ini seperti dahulu. Di sini atau di sana, beberapa nota terperinci mungkin dapat diperbaiki. Pengamalan praktis prinsip-prinsip ini akan bergantung, seperti yang dijelaskan dalam Manifesto, di setiap tempat dan pada setiap masa, pada keadaan-keadaan bersejarah yang wujud pada masa itu, dan, oleh kerana itu, tidak terdapatnya tekanan pada langkah-langkah revolusioner yang diutarakan pada hujung Bahagian II. Petikan tersebut sudah tentu, dari pelbagai aspek, dapat dihuraikan dengan berbeza pada hari ini. Dengan langkah-langkah besar yang telah diambil oleh industri moden sejak tahun 1848, dan dengan itu pengaturan kelas pekerja yang diperbaiki dan diperluaskan, dan dengan pengalaman yang dirangkul, pertama sekali dalam revolusi Februari dan kemudiannya dalam Komun Paris, di mana proletariat buat kali pertama memegang kuasa politik selama dua bulan, isu-isu terperinci rancangan ini telah menjadi usang. Satu perkara khusus dibuktikan oleh Komun, iaitu berhubungan dengan fakta bahawa “kelas pekerja tidak dapat menguasai jentera kerajaan dan menggunakannya demi kegunaan sendiri.” (Lihat Perang Saudara di Perancis: Ucapan Majlis Umum Pertubuhan Pekerja Antarabangsa, London: Truelove, 1871, muka surat 15,[10] di mana isu ini diperkembangkan.) Lebih-lebih lagi, ia adalah jelas bahawa kritikan terhadap kesusasteraan sosialis tidak memadai pada masa ini, kerana ia hanya merangkumi karya-karya sehingga tahun 1847; juga, bahawa keterangan berkenaan dengan hubungan di antara Komunis dan parti-parti pembangkang yang lain (Bahagian IV), walaupun secara dasarnya memang tepat, dari segi amalan adalah usang, kerana keadaan politik telah berubah, dan kemaraan sejarah telah menghapuskan dari dunia kebanyakan parti-parti politik yang pernah diasaskan.

Tetapi, Manifesto ini telah menjadi dokumen bersejarah yang kami tidak lagi mempunyai hak untuk mengubah.

Penerjemahan Bahasa Iggeris ini adalah hasil usaha Encik Samuel Moore, iaitu penerjemah sebahagian besar daripada Kapital, karya Marx. Kami telah mengubahnya bersama, dan saya telah menambah beberapa nota penjelasan bagi peristiwa-peristiwa bersejarah.

Frederick Engels

London, 30hb Januari 1888.



Manifesto Komunis

Sesuatu hantu sedang mengganggu Eropah – hantu komunisme. Kesemua kuasa Eropah lama telah memasuki persekutuan suci untuk menghalau hantu ini: Paus dan Tsar, Metternich dan Guizot,[11] Radikal Perancis[12] dan polis perisik Jerman.

Dimanakah parti pembangkang yang belum dikecam sebagai bersifat komunis oleh musuh-musuhnya yang memegang kuasa? Dimanakah pihak pembangkang yang belum melontar semula tuduhan komunisme terhadap parti-parti pembangkang yang lebih maju, serta terhadap musuh-musuh reaksioner?

Dua perkara timbul dari fakta ini:

I.                    Komunisme sudah diakui oleh setiap kuasa Eropah sebagai sebuah kuasa tersendiri.
II.                  Ia sudah tiba masanya untuk pihak Komunis, secara terbuka, berhadapan dengan seluruh dunia, menerbitkan pandangan mereka, matlamat mereka, aliran mereka, dan menentang cerita kebudak-budakan mengenai hantu komunisme ini dengan manifesto parti tersendiri.

Oleh yang demikian, Komunis dari pelbagai kewarganegaraan telah berkumpul di London dan melukiskan manifesto yang berikut, untuk diterbitkan dalam Bahasa Inggeris, Perancis, Itali, Flemis, dan Denmark.


I. Borjuasi dan Proletariat[13]

Sejarah kesemua masyarakat yang sedia ada[14] adalah sejarah perjuangan kelas.

Orang bebas dan hamba, bangsawan dan golongan bawahan,[15] tuan dan hamba serf, ahli tukang[16] dan pembantu tukang, pendek kata, penindas dan yang ditindas, sentiasa berdiri dalam tentangan di antara satu sama lain, mengusahakan pertempuran yang berterusan, kadang-kala disembunyikan, kadang-kala diperjuangkan secara terbuka, sesuatu pertempuran yang berakhir setiap kali antara dalam penyusunan semula masyarakat secara revolusioner, atau dalam kehancuran bersama kelas-kelas yang saling berjuang.

Dalam zaman-zaman bersejarah lebih awal, kita mendapati, hampir di merata-rata, sesuatu penyusunan  rumit masyarakat menjadi beberapa golongan, mengikut kedudukan sosial yang berperingkat. Di Rom kuno kita menjumpai bangsawan, kesateria, golongan bawahan, hamba; semasa Zaman Pertengahan, terdapatnya tuan-tuan feudal, orang suruhan, ahli tukang, pembantu tukang, penolong, hamba serf; dan dalam hampir kesemua kelas ini, terdapat kedudukan-kedudukan yang berperingkat.

Masyarakat borjuasi moden yang telah bertunas dari kebinasaan masyarakat feudal[17] belum membasmikan percanggahan kelas. Ia hanya telah mendirikan kelas-kelas baru, keadaan-keadaan penindasan baru, bentuk-bentuk perjuangan baru yang menggantikan bentuk-bentuk lama.

Namun, zaman kita, iaitu zaman borjuasi, menunjukkan sifat khusus yang berikut: ia telah meringkaskan percanggahan kelas. Masyarakat secara keseluruhan semakin dibahagikan menjadi dua kem bermusuhan besar, menjadi dua kelas besar yang berhadapan dengan satu sama lain – borjuasi dan proletariat.

Dari hamba-hamba serf Zaman Pertengahan bangkitnya warga-warga kota yang mempunyai hak di bandar-bandar awal. Dari warga-warga kota ini, unsur-unsur borjuasi mula berkembang.

Penemuan benua Amerika, pengelilingan Tanjung Harapan, telah membuka kawasan baru bagi borjuasi yang sedang bertumbuh. Pasaran-pasaran India Timur dan Negara Cina, penjajahan Amerika, perdagangan dengan negara-negara yang dijajah, peningkatan dalam cara-cara pertukaran dan, secara umumnya, dalam jenis komoditi, memberikan kepada perdagangan, kepada pengemudian, kepada industri, sesuatu naluri yang tidak pernah dikenali, dan dengan itu, kepada unsur revolusioner dalam masyarakat feudal yang semakin runtuh, sesuatu kemajuan pesat.

Sistem perindustrian feudal, di mana pengeluaran industri dikuasai oleh kesatuan-kesatuan tukang yang tertutup, kini tidak lagi mencukupi bagi keperluan pasaran-pasaran baru yang semakin bertumbuh. Sistem pengeluaran telah mengambil tempatnya. Ahli-ahli tukang diketepikan oleh kelas pengeluaran menengah; pembahagian tugas di antara tukang-tukang korporat yang berlainan dihapuskan apabila berhadapan dengan pembahagian tugas dalam setiap bengkel pertukangan.

Sementara itu, pasaran-pasaran semakin bertumbuh; permintaan semakin meningkat. Malah sistem pengeluaran tidak dapat menjajari pertumbuhan ini. Kemudian, stim dan jentera telah merevolusikan pengeluaran perindustrian. Kedudukan pengeluaran digantikan oleh industri moden gergasi; kedudukan kelas menengah perindustrian digantikan oleh jutawan perindustrian, oleh pemimpin seluruh tentera perindustrian, oleh borjuasi moden.

Industri moden telah mewujudkan pasaran sedunia, bagi mana penemuan Amerika telah telah membuka jalan. Pasaran ini telah memberikan kemajuan besar bagi perdagangan, bagi pengemudian, bagi komunikasi melalui darat. Justeru itu, perkembangan ini telah bereaksi pada perluasan industri; dan sejajar dengan perluasan industri, perdagangan, pengemudian, rangkaian keretapi, sejajar dengan itu borjuasi juga telah berkembang, meningkatkan kapitalnya, dan menolak ke latarbelakang setiap kelas yang muncul dari Zaman Pertengahan.

Maka, kita dapat melihat bagaimana borjuasi moden sendiri adalah hasil jalan perkembangan yang berpanjangan, hasil siri revolusi dalam cara-cara pengeluaran dan pertukaran.

Setiap langkah dalam perkembangan borjuasi diiringi oleh kemajuan politik sejajar bagi kelas tersebut. Sesebuah kelas tertindas di bawah kuasa bangsawan feudal, sesebuah persekutuan bersenjata dan berkerajaan sendiri dalam komun[18] pada Zaman Pertengahan: di sini sebuah republik perbandaran bebas (seperti di Itali dan Jerman); di sana sebuah ‘golongan ketiga’[19] yang dikenakan cukai oleh pemerintahan di-raja (seperti di Perancis); kemudian, semasa zaman pengeluaran sebenar, melayani pemerintahan di-raja separuh feudal atau pemerintahan di-raja mutlak[20] sebagai imbangan terhadap kaum bangsawan, dan, sebenarnya, batu asas bagi pemerintahan-pemerintahan di-raja besar secara umunya – akhirnya kaum borjuasi, sejak penubuhan industri moden dan pasaran dunia, telah merampas untuk dirinya sendiri kekuasaan politik eksklusif dalam kerajaan perwakilan moden. Badan eksekutif dalam kerajaan moden hanyalah sebuah majlis untuk menyeliakan urusan bersama bagi seluruh kaum borjuasi.

Kaum borjuasi, dari segi bersejarah, telah memainkan peranan yang sangat revolusioner.

Kaum borjuasi, di mana jua ia berjaya merangkul kekuasaan, telah mengakhiri segala hubungan feudal, patriarki, perkampungan. Ia telah menghancurkan tanpa belas kasihan pertalian feudal yang menghubungkan manusia kepada ‘pemerintah semulajadi,’ dan tidak meninggalkan hubungan lain di antara manusia dan manusia melainkan kepentingan sendiri dan ‘pembayaran tunai’ yang kejam. Ia telah menenggelamkan yang paling suci daripada semangat keagamaan, dari keghairahan kesopanan, dari sentimentalisme filistin, dalam air perhitungan egotistik yang sejuk. Ia telah menjatuhkan harga diri sehingga paras nilai pertukaran, dan di tempat kebebasan tidak terkira yang disahkan, ia telah mendirikan satu-satunya kebebasan yang tidak bersuara hati – Perdagangan Bebas. Pendek kata, di tempat pengeksploitasian, yang diselubungi oleh ilusi agama dan politik, ia telah menggantikan pengeksploitasian jelas, tanpa kemaluan, secara langsung, lagi kejam.

Kaum borjuasi telah menanggalkan kemuliaan dari setiap pekerjaan yang sehingga ini dihormati dan dipandang dengan penuh pujaan. Ia telah mengubah doktor, peguam, paderi, penyair, ahli sains, menjadi pekerja bergaji semata-mata.

Kaum borjuasi telah merampas kelubung sentimental dari kekeluargaan, dan telah menyingkirkan hubungan keluarga sehingga tahap hubungan wang semata-mata.

Kaum borjuasi telah mendedahkan bagaimana dapat berlakunya perihal bahawa pertunjukan kekuatan secara kasar semasa Zaman Pertengahan, yang begitu dikagumi oleh pihak reaksioner, mendapat pelengkapan sewajar dalam kemalasan yang tertinggi. Ia merupakan pihak pertama yang menunjukkan apa yang dapat dicapai oleh aktiviti manusia. Ia telah mencapai keajaiban yang jauh melintasi piramid-piramid Mesir, saluran-saluran air Rom, dan gereja-gereja besar Gothik; ia telah melancarkan pengembaraan yang telah memalukan segala ekspidisi negara[21] dan perjalanan salib[22] sebelumnya.

Kaum borjuasi tidak dapat hidup tanpa sentiasa merevolusikan peralatan pengeluaran, dan dengan itu, hubungan-hubungan pengeluaran, dan dengannya seluruh hubungan masyarakat. Pertahanan cara-cara pengeluaran lama dalam bentuk yang tidak diubah adalah, sebaliknya, keadaan pertama bagi kewujudan setiap kelas perindustrian yang lebih awal. Perevolusian berterusan terhadap bidang pengeluaran, kekecauan tanpa berhenti terhadap segala keadaan sosial, ketidak-pastian dan kegelisahan selama-lamanya, membezakan zaman borjuasi dari zaman-zaman yang lebih awal. Segala hubungan tetap, beku, dengan prasangka dan pendapat kuno dan dihormati mereka, telah disapu bersih, dan hubungan-hubungan baru menjadi usang sebelum ia dapat menulang. Segalanya yang berbentuk pejal melebur menjadi udara, segala yang suci dilucahkan, dan manusia akhirnya terpaksa menghadapi dengan perasaan sedar keadaan-keadaan kehidupan sebenar, serta hubungan-hubungan sesamanya.

Keperluan sentiasa meluaskan pasaran untuk barangannya mengejar kaum borjuasi ke seluruh permukaan dunia. Ia mesti berlabuh di setiap tempat, bertapak di setiap tempat, mendirikan hubungan di setiap tempat.

Kaum borjuasi telah, melalui pengeksploitasiannya ke atas pasaran dunia, memberikan sifat kosmopolitan kepada pengeluaran dan penggunaan di setiap negara. Sambil mengecewakan pihak reaksioner, ia telah menarik dari bawah kaki industri dasar kebangsaan di mana ia dahulunya berdiri. Kesemua industri kebangsaan lama telah dimusnahkan atau sedang dimusnahkan setiap hari. Industri-industri lama tersebut digantikan oleh industri-industri baru, di mana pengenalannya menjadi persoalan hidup dan mati bagi setiap negara bertamadun, oleh industri-industri yang tidak lagi mengerjakan bahan-bahan mentah peribumi, tetapi menggunakan bahan-bahan mentah dari kawasan-kawasan yang paling jauh; industri-industri di mana barangannya digunakan, bukan sahaja dalam negera sendiri, tetapi di setiap pelusuk dunia. Di tempat keperluan-keperluan lama, yang dipenuhi oleh pengeluaran negara itu sendiri, kita mendapati keperluan-keperluan baru, yang memerlukan untuk kepenuhannya barangan dari negara-negara dan iklim-iklim yang jauh. Di tempat pemulauan tempatan dan kebangsaan serta kebolehan memenuhi keperluan sendiri, kita mempunyai hubungan urusan dalam setiap arah, saling pergantungan antarabangsa di antara negara-negara. Dan sebagaimana  dengan hasil-hasil materialis, begitu juga dengan pengeluaran intelek. Hasil-hasil intelek dari negara-negara individu menjadi harta bersama. Berat sebelah kebangsaan dan pemandangan sempit menjadi semakin mustahil, dan dari pelbagai kesusasteraan kebangsaan dan tempatan, timbullah kesusasteraan sedunia.

Kaum borjuasi, dengan kemajuan pesat kesemua peralatan pengeluaran, melalui kemudahan-kemudahan komunikasi, menarik kesemua negara, mahupun yang paling mundur, ke dalam ketamadunan. Harga-harga murah bagi komoditi-komoditinya adalah persenjataan berat yang digunakan untuk merobohkan tembok-tembok Cina, yang digunakan untuk memaksa kebencian degil negara-negara mundur untuk ditakluki. Ia memaksa kesemua negara, dengan ancaman kepupusan, untuk mengamalkan cara-cara pengeluaran borjuasi; ia memaksa mereka untuk memperkenalkan apa yang ia menamakan tamadun di kalangan negara-negara tersebut, iaitu untuk menjadi borjuasi sendiri. Pendek kata, ia mewujudkan dunia mengikut bayangannya sendiri.

Kaum borjuasi telah menakluki kawasan desa kepada pemerintahan bandar-bandar. Ia telah membina bandar-bandar besar, telah meningkatkan dengan mendadak penduduk di bandar berbanding dengan kawasan desa, dan dengan itu telah menyelamatkan sebahagian besar daripada rakyat dari kebiasaan kehidupan desa. Sebagaimana ia telah menjadikan kawasan desa bergantung kepada bandar-bandar, maka ia telah menjadikan negara-negara mundur dan negara-negara separuh mundur bergantung kepada negara-negara maju, Timur bergantung kepada Barat.

Kaum borjuasi semakin menghapuskan keadaan penduduk, cara-cara pengeluaran, dan harta benda yang berselerak. Ia telah mengumpulkan penduduk, memusatkan cara-cara pengeluaran, dan telah menyatukan harta benda dalam beberapa tangan. Akibat yang sudah pasti muncul dari ini adalah pemusatan politik. Daerah-daerah yang bebas, atau hanya dihubungkan secara kasar, dengan kepentingan, undang-undang, kerajaan dan sistem pencukaian berasingan, dikumpulkan bersama dalam satu negara, dengan satu kerajaan, satu tata undang-undang, satu kepentingan kelas kebangsaan, satu sempadan dan satu tarif kastam.

Kaum borjuasi, dalam pemerintahannya yang belum mencapai seratus tahun, telah mewujudkan lebih banyak kuasa-kuasa pengeluaran gergasi berbanding dengan kesemua generasi-generasi sebelumnya. Penaklukan kuasa-kuasa alam kepada manusia, jentera, penggunaan kimia pada industri dan pertanian, pengemudian stim, keretapi, telegraf elektrik, pembukaan seluruh benua untuk pertanian, pemaritan sungai-sungai, penduduk yang dengan kekuataan sihir dikeluarkan dari tanah – abad terdahulu manakah yang dapat menduga bahawa terdapatnya kuasa-kuasa pengeluaran seperti itu tertidur di pangkuan tenaga sosial?

Maka kita dapat melihat: cara-cara pengeluaran dan pertukaran, pada dasar mana kaum borjuasi telah membina dirinya, dijana dalam masyarakat feudal. Pada tahap tertentu dalam perkembangan cara-cara pengeluaran dan pertukaran ini, keadaan-keadaan di bawah mana masyarakat feudal mengeluarkan dan menukarkan, pengaturan pertanian dan industri pengeluaran secara feudal, pendek kata, hubungan harta benda feudal tidak lagi sesuai dengan kuasa-kuasa pengeluaran yang sudah maju; ianya menjadi belenggu yang begitu banyak. Ianya harus dihapuskan; ianya memang dihapuskan.

Di tempatnya datanglah persaingan bebas, diiringi oleh perlembagaan sosial dan politik yang diselaraskan untuknya, dan oleh kekuasaan ekonomi dan politik kelas borjuasi.

Sesuatu gerakan yang serupa sedang berlangsung di hadapan mata kita sendiri. Masyarakat borjuasi moden dengan hubungan-hubungan pengeluaran, penukaran dan harta bendanya, sebuah masyarakat yang telah mencipta cara-cara pengeluaran dan penukaran yang begitu besar sekali, adalah ibarat tukang sihir yang tidak lagi dapat menguasai kuasa-kuasa alam ghaib yang telah diutarakan olehnya dengan jampi. Selama beberapa dekad, sejarah industri dan perdagangan hanyalah sejarah pemberontakan kuasa-kuasa produktif moden menentang keadaan-keadaan pengeluaran moden, menentang hubungan harta yang merupakan keadaan bagi kewujudan borjuasi dan pemerintahannya. Cukuplah untuk mengatakan bahawa krisis-krisis komersil yang diulangi secara berurutan, mengancam kewujudan seluruh masyarakat borjuasi, setiap kali dengan lebih merbahaya. Dalam krisis-krisis ini, sebahagian besar bukan sahaja daripada barangan yang sedia ada, bahkan juga kuasa-kuasa produktif yang diwujudkan dahulunya, dihancurkan secara beransur-ansur. Dalam krisis-krisis ini, sesuatu wabak meletus, yang, pada zaman-zaman dahulu, sudah tentu dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa – inilah wabak pengeluaran lebihan. Masyarakat dengan tiba-tiba mendapati dirinya dilontar kembali sehingga keadaan tidak bertamadun buat sementara waktu; ia kelihatan seolah-olah kebuluran, peperangan kebinasaan antarabangsa telah memotong bekalan dari segala bahan keperluan hidup; industri dan perdagangan solah-olah dimusnahkan. Dan mengapa? Kerana terdapatnya terlalu banyak tamadun, terlalu banyak bahan keperluan hidup, terlalu banyak industri, terlalu banyak perdagangan. Kuasa-kuasa produktif yang dapat digunakan oleh masyarakat tidak lagi dapat melanjutkan perkembangan keadaan-keadaan harta borjuasi; sebaliknya, ia telah menjadi terlalu kuat bagi keadaan-keadaan ini, yang membelenggukannya, dan sejurus selepas ia mengatasi belenggu ini, ia membawa kekucar-kaciran ke suluruh masyarakat borjuasi, lalu merbahayakan kewujudan harta borjuasi. Keadaan-keadaan masyarakat borjuasi kini menjadi terlalu sempit untuk memuatkan kekayaan yang diwujudkan oleh mereka. Dan bagaimanakah borjuasi mengatasi krisis-krisis ini? Dalam satu tangan, dengan pemaksaan penghancurkan sebahagian besar daripada kuasa-kuasa produktif; dalam tangan sebelah, dengan merampas pasaran-pasaran baru, dan dengan pengeksploitasian yang lebih terperinci terhadap pasaran-pasaran lama. Dalam erti kata lain, dengan membuka jalan bagi krisis-krisis yang lebih luas dan lebih membinasakan, dan dengan menghancurkan cara-cara melalui mana krisis tersebut mungkin dielakkan.

Senjata-senjata yang digunakan oleh borjuasi untuk menumbangkan feudalisme kini dihalakan menentang borjuasi sendiri.

Tetapi borjuasi bukan sahaja mewujudkan senjata-senjata yang akan membawa kematiannya sendiri; ia juga telah mewujudkan manusia yang akan menggunakan senjata-senjata tersebut – kelas pekerja moden – atau proletariat.

Sambil borjuasi, iaitu kapital, berkembang, maka dengan cara yang sama, proletariat, kelas pekerja moden, telah berkembang – sebuah kelas pemburuh, yang hanya hidup selagi mereka dapat mencari pekerjaan, dan yang hanya dapat mencari pekerjaan selagi usaha mereka meningkatkan kapital. Para pekerja ini, yang terpaksa menjual diri mereka secara menyeluruh, adalah sebuah komoditi, seperti setiap benda perdagangan yang lain, dan dengan itu, mereka didedahkan kepada onak dan duri persaingan, kepada segala pergolakan pasaran.

Oleh kerana penggunaan jentera yang luas dan pembahagian tenaga pekerja, tugas proletariat telah kehilangan sifat individu, dan, akibatnya, segala daya tarikan bagi pekerja. Dia menjadi lampiran bagi jentera, dan ia hanyalah tugas yang paling senang, yang paling membosankan, yang paling senang dimahiri, yang diperlukan daripadanya. Maka, kos pembiayaan seorang pekerja dihadkan, hampir sepenuhnya, kepada bahan-bahan keperluan hidup yang diperlukan untuk kehidupannya, dan untuk perlanjutan bangsanya. Tetapi harga sebuah komoditi, dan maka juga harga tenaga pekerja,[23] adalah sama dengan kos pengeluarannya. Maka, sambil kejijikan pekerjaan itu meningkat, gajinya pula merosot. Lebih-lebih lagi, sambil penggunaan jentera dan pembahagian tenaga pekerja meningkat, dengan nisbah yang sama, beban usaha juga meningkat, biarpun melalui pemanjangan masa bekerja, melalui peningkatan dalam usaha yang diperas dalam masa tertentu mahupun melalui peningkatan dalam kelajuan jentera, dan sebagainya.

Industri moden telah mengubah bengkel kecil milik tuan patriarki menjadi kilang besar milik kapitalis perindustrian. Jumlah pekerja yang ramai, dihimpunkan di kilang-kilang, disusun seperti askar. Sebagai askar dalam tentera perindustrian, mereka diletakkan di bawah pemerintahan sebuah hierarki pegawai dan sarjan. Mereka bukan sahaja merupakan hamba kepada kelas borjuasi dan kerajaan borjuasi; mereka, setiap hari dan setiap jam, dihambakan oleh jentera, oleh penyelia, dan terutama sekali, oleh usahawan borjuasi sendiri. Semakin terbuka kezaliman ini megisytiharkan keuntungan sebagai tujuan dan matlamatnya, semakin keji, semakin membencikan, dan semakin memahitkan ia menjadi.

Semakin kurang kemahiran dan penggunaan tenaga yang diperlukan oleh pekerjaan manual, dalam erti kata lain, semakin industri moden dimajukan, semakin tenaga pekerja kaum lelaki digantikan oleh tenaga pekerja kaum perempuan. Perbezaan umur dan jantina tidak lagi mempunyai erti sosial yang penting bagi kelas pekerja. Kesemua mereka adalah peralatan tenaga pekerja, lebih atau kurang mahal untuk digunakan, menurut umur dan jantina.

Sesudah pengeksploitasian para pekerja oleh pihak majikan, buat masa ini, mencapai pengakhiran, dan dia menerima gajinya secara tunai, maka dia diserang oleh bahagian-bahagian borjuasi yang lain, tuan tanah, pekedai, penggadai, dan sebagainya.

Lapisan bawahan daripada kelas menengah – pihak usahawan kecil, para pekedai dan pedagang bersara secara umumnya, tukang kraf, dan petani – kesemua mereka tenggelam secara beransur-ansur ke dalam proletariat, sebahagiannya oleh kerana kapital kecil mereka tidak mencukupi pada skala di mana industri moden dilancarkan, dan mereka tenggalam dalam persaingan dengan pihak kapitalis besar, sebahagiannya kerana kemahiran khusus mereka dijadikan tidak bernilai oleh cara-cara pengeluaran yang baru. Maka, kaum proletariat dirangkul dari setiap kelas penduduk.

Proletariat melalui pelbagai tahap pekembangan. Dengan kelahirannya bermulalah perjuangannya menentang borjuasi. Pada mulanya, tentangan tersebut dilancarkan oleh pekerja-pekerja pada dasar individu, kemudiannya oleh usaha pekerja di sebuah kilang, kemudiannya oleh ahli-ahli sejenis tukang, di satu tempat, menentang borjuasi individu yang mengeksploitasi mereka secara langsung. Mereka menumpukan serangan mereka bukannya pada keadaan pengeluaran borjuasi, tetapi pada peralatan pengeluaran itu sendiri; mereka memusnahkan perkakas import yang bersaing dengan tenaga pekerja mereka, mereka menghancurkan jentera, mereka membakar kilang, mereka mencuba mengembalikan dengan kekerasan kedudukan pekerja yang sudah melesap pada Zaman Pertengahan.[24]

Pada tahap ini, para pekerja masih membentukkan sebuah jisim yang tidak teratur dan diserakkan di merata negara, dan dipecah-belaikan oleh persaingan sesama sendiri. Jika para pekerja bersatu untuk mendirikan badan yang lebih sepadu, ini bukanlah hasil ilham mereka sendiri, tetapi hasil kesatuan borjuasi, iaitu kelas yang terpaksa menggerakkan seluruh proletariat agar mencapai kepentingan politiknya sendiri, dan lebih-lebih lagi, masih dapat berbuat sedemikian buat seketika. Maka, pada tahap ini, kaum proletariat belum menyerang musuh mereka, tetapi musuh kepada musuh mereka, sisa pemerintahan di-raja mutlak, tuan-tuan tanah, borjuasi bukan perindustrian, borjuasi kecil. Maka, seluruh gerakan bersejarah itu dipusatkan dalam tangan borjuasi; setiap kejayaan yang dicapai sedemikian adalah kejayaan bagi borjuasi.

Tetapi dengan perkembangan industri, kaum proletariat bukan sahaja meningkat dalam jumlahnya; ia semakin berpusat dalam jumlah yang semakin besar, kekuatannya semakin  bertumbuh, dan ia semakin merasai kekuatan tersebut. Kepelbagaian kepentingan dalam keadaan-keadaan kehidupan dalam lapisan-lapisan proletariat menjadi semakin sama rata, sambil jentera menghapuskan segala perbezaan tenaga pekerja, dan hampir di kesemua tempat menyingkirkan gaji sehingga tahap rendah yang sama. Persaingan yang semakin bertumbuh di antara borjuasi, dan krisis-krisis komersil yang diakibatkan olehnya, menjadikan gaji pekerja semakin tidak tetap. Kemajuan jentera yang tidak terhingga, sentiasa berkembang dengan lebih pesat lagi, menjadikan kehidupan mereka semakin terancam; perlagaan di antara pekerja individu dan borjuasi individu semakin mengambil sifat perlagaan di antara dua kelas. Dengan itu, para pekerja mula menubuhkan kumpulan-kumpulan (kesatuan-kesatuan pekerja) untuk menentang borjuasi; mereka berkumpul bersama untuk mempertahankan tahap gaji mereka; mereka menubuhkan kesatuan-kesatuan tetap untuk bersedia untuk pemberontakan-pemberontakan dari masa ke semasa. Di beberapa tempat, perjuangan tersebut meletus menjadi rusuhan.

Dari masa ke semasa, para pekerja memperolehi kejayaan, tetapi hanya buat seketika. Hasil sebenar dari perjuangan mereka bukannya terletak dalam hasil serta-merta, tetapi dalam kesatuan pekerja yang sentiasa berkembang. Kesatuan ini dibantu oleh cara-cara komunikasi yang semakin diperbaiki, yang dicipta oleh industri moden dan yang meletakkan para pekerja dari kawasan-kawasan yang berlainan dalam hubungan di antara satu sama lain. Hubungan inilah yang diperlukan untuk memusatkan pelbagai perjuangan tempatan, kesemuanya dengan sifat yang serupa, dalam satu perjuangan kebangsaan di antara kelas. Tetapi setiap perjuangan kelas adalah perjuangan politik. Dan kesatuan tersebut, yang mengambil masa selama beberapa abad oleh warga-warga kota awal dengan lebuhraya-lebuhraya buruk mereka, dapat dicapai dalam beberapa tahun oleh proletariat moden kerana rangkaian keretapi.

Pengaturan proletariat ini menjadi sebuah kelas, dan justeru itu menjadi parti politik, sentiasa diganggu oleh persaingan di kalangan pekerja sendiri. Tetapi ia sentiasa bangkit semula, lebih kuat, lebih kukuh, lebih gagah. Ia memaksa pengiktirafan dari segi undang-undang bagi kepentingan tertentu para pekerja, dengan menggunakan pembahagian di kalangan borjuasi sendiri. Dengan cara inilah lahirnya Akta Sepuluh Jam di England.

Lebih-lebih lagi, perlagaan di antara kelas-kelas masyarakat lama memajukan, dengan pelbagai cara, aliran perkembangan proleteriat. Borjuasi mendapati dirinya terlibat dalam pertempuran yang berterusan. Pertama sekali dengan golongan bangsawan; kemudiannya dengan bahagian-bahagian borjuasi sendiri, di mana kepentingan-kepentingan mereka telah bercanggah dengan kemajuan industri; pada setiap masa dengan borjuasi dari negara-negara asing. Dalam kesemua pertempuran ini, ia mendapati dirinya terpaksa menyeru kepada proletariat, meminta bantuan daripadanya, dan dengan itu, menariknya ke dalam arena politik. Maka, kaum borjuasi sendiri membekalkan proletariat dengan unsur-unsur politik dan pendidikan umum tersendiri, dalam erti kata lain, ia melengkapi proletariat dengan senjata-senjata untuk menentang borjuasi.

Selanjutnya, seperti yang kita sudah melihat, golongan-golongan dari kelas-kelas pemerintah, dengan kemajuan industri, dicampakkan ke dalam proletariat, atau sekurang-kurang diancam dalam kewujudan mereka. Ini juga membekalkan proleteriat dengan unsur-unsur segar dalam kesedaran dan kemajuannya.

Akhirnya, pada ketika apabila perjuangan kelas mendekati saat yang penting, proses kehancuran yang berlangsung dalam kelas pemerintah, sebenarnya dalam seluruh masyarakat lama, mendapat sifat yang ganas lagi tegas, sehingga segolongan kecil daripada kelas pemerintah memutuskan hubungannya dan bercantum dengan kelas revolusioner, kelas yang memegang masa depan dalam tangan mereka. Maka, sebagaimana pada zaman yang lebih awal, sekumpulan bangsawan beralih kepada borjuasi, kini segolongan borjuasi beralih kepada proletariat, dan khususnya, segolongan ahli ideologi borjuasi yang telah meningkatkan diri mereka kepada tahap memahami secara teori gerakan bersejarah itu secara menyeluruh.

Di antara kesemua kelas yang berhadapan dengan borjuasi pada hari ini, hanya proletariatlah yang benar-benar merupakan sebuah kelas revolusioner. Kelas-kelas yang lain mereput dan akhirnya melesap apabila berhadapan dengan industri moden; proletariat adalah hasilnya yang khas dan mustahak.

Kelas menengah bawahan, usahawan kecil, pekedai, tukang kraf, petani, kesemua mereka berjuang menentang borjuasi, untuk menyelamatkan kewujudan mereka sebagai bahagian kelas menengah daripada kepupusan. Oleh kerana ini, mereka tidak bersifat revolusioner, tetapi konservatif. Lebih-lebih lagi, mereka bersifat reaksioner, kerana mereka mencuba memutar balik roda sejarah. Jika secara kebetulan mereka bersifat revolusioner, mereka hanyalah sedemikian akibat pemindahan mereka ke proletariat yang semakin mendekati; maka mereka tidak mempertahankan masa mutakhir mereka, tetapi kepentingan masa depan mereka; mereka meninggalkan pendirian mereka sendiri untuk menempatkan diri mereka pada pendirian proletariat.

‘Kelas merbahaya,’[25] sampah masyarakat, jisim yang mereput secara pasif, yang diketepikan oleh lapisan-lapisan bawahan masyarakat lama, mungkin, di beberapa tempat, disapu masuk ke dalam gerakan oleh revolusi proletariat; namun, keadaan kehidupannya lebih menyediakannya untuk memainkan peranan sebagai peralatan yang dirasuah untuk melancarkan keghairahan reaksioner.

Keadaan-keadaan kehidupan masyarakat lama secara keseluruhannya sudah ditenggelamkan oleh keadaan-keadan kehidupan proletariat. Proletariat tidak memiliki harta; hubungannya dengan isteri dan anaknya tidak lagi mempunyai persamaan dengan hubungan kekeluargaan borjuasi; tenaga pekerja perindustrian moden, penaklukan moden kepada kapital, yang serupa di England seperti di Perancis, di Amerika seperti di Jerman, telah menanggalkan daripadanya setiap unsur sifat kebangsaan. Perundangan, kemoralan, agama, baginya adalah sama dengan segala prasangka borjuasi, di sebalik mana bersembunyinya pelbagai kepentingan borjuasi.

Kesemua kelas sebelum ini yang berjaya memperolehi kekuasaan berusaha mempertahankan kedudukan yang dicapainya dengan menaklukkan masyarakat secara menyeluruh kepada syarat-syarat penggunaan mereka. Kaum proletariat tidak dapat menjadi tuan kepada kuasa-kuasa produktif dalam masyarakat, kecuali dengan menghapuskan cara-cara penggunaan mereka yang lebih awal, dan dengan itu, setiap cara penggunaan yang ada. Mereka tidak memiliki harta sendiri untuk melindungi dan mempertahankan; misi mereka adalah untuk menghancurkan segala perlindungan dan jaminan bagi harta individu.

Segala gerakan bersejarah terdahulu adalah gerakan minoriti, atau untuk kepentingan minoriti. Gerakan proletariat adalah gerakan berkesedaran diri lagi bebas oleh majoriti demi kepentingan majoriti yang lebih luas. Kaum proletariat, lapisan paling rendah dalam masyarakat mutakhir kita, tidak dapat bergerak, tidak dapat meningkatkan dirinya, tanpa seluruh lapisan-lapisan masyarakat rasmi dihancurkan.

Walaupun bukan dalam kandungannya, tetapi dalam bentuknya, perjuangan proleteriat dengan borjuasi pada mulanya adalah perjuangan kebangsaan. Proletariat di setiap negara mesti, sememangnya, menyelesaikan urusan dengan borjuasinya sendiri dahulu.

Dalam menggambarkan fasa-fasa umum dalam perkembangan proletariat, kita telah menggariskan perang saudara yang lebih kurang diselubungi, yang sedang bergolak dalam masyarakat mutakhir, sehingga tahap di mana peperangan tersebut meletus menjadi revolusi terbuka, dan di mana penumbangan borjuasi dengan kekerasan meletakkan landasan bagi kekuasaan proletariat.

Sehingga ini, setiap bentuk masyarakat telah didasarkan, seperti yang kita sudah melihat, pada percanggahan di antara kelas penindas dan kelas yang ditindas. Tetapi untuk menindas sesebuah kelas, keadaan-keadaan tertentu harus dijaminkan baginya di bawah mana ia dapat, sekurang-kurangnya, melanjutkan kewujudan penghambaannya. Hamba serf, semasa zaman penghambaan, telah meningkatkan dirinya menjadi anggota komun, sebagaimana borjuasi kecil, di bawah kok feudalisme mutlak, berjaya berkembang menjadi borjuasi. Sebaliknya, pekerja moden tidak meningkat dengan kemajuan industri, tetapi semakin merosot sehingga tahap yang lebih rendah daripada keadaan-keadaan kewujudan kelasnya sendiri. Dia menjadi seorang pemiskin, dan kemiskinan berkembang dengan lebih pesat daripada penduduk dan kekayaan. Dan di sini ia menjadi jelas bahawa kaum borjuasi tidak lagi sesuai menjadi kelas pemerintah dalam masyarakat, dan untuk memaksa keadaan-keadaan kewujudannya pada masyarakat sebagai hukum maha-berkuasa. Ia tidak sesuai untuk memerintah kerana ia tidak mampu memastikan kewujudan bagi hambanya dalam kehambaan, kerana ia tidak dapat mengelakkan hamba itu daripada semakin tenggelam ke dalam keadaan sedemikian, sehingga ia terpaksa memberi makanan kepada hambanya, dan bukan hambanya yang memberi makanan kepadanya. Masyarakat tidak lagi dapat hidup di bawah borjuasi ini, dalam erti kata lain, kewujudannya tidak lagi sepadan dengan masyarakat.

Keadaan asas bagi kewujudan dan kekuasaan kelas borjuasi adalah pembentukan dan penambahan kapital; keadaan bagi kapital adalah tenaga pekerja bergaji. Tenaga pekerja bergaji bergantung secara eksklusif pada persaingan di antara para pekerja. Perkembangan industri, di mana pendorong tidak sengajanya adalah borjuasi, menggantikan pemulauan para pekerja, disebabkan oleh persaingan, dengan gabungan revolusioner, oleh kerana kesatuan. Maka, perkembangan industri moden memotong, dari bawah kaki borjuasi, dasar pada mana borjuasi mengeluarkan dan menambahkan hasil. Maka, apa yang dihasilkan oleh borjuasi, terutama sekali, adalah penggali kuburannya sendiri. Penumbangan borjuasi dan kejayaan proletariat tidak dapat dielakkan.  

II. Proletariat dan Komunis

Dalam hubungan apakah kaum Komunis berdiri berkenaan dengan kaum proletariat secara menyeluruh?

Kaum Komunis tidak membentukkan sebuah parti tersendiri yang menentang parti-parti kelas pekerja yang lain.

Mereka tidak mempunyai kepentingan tersendiri dan terpisah daripada kepentingan proletariat secara menyeluruh.

Mereka tidak mendirikan apa-apa prinsip sektarian tersendiri, yang mungkin digunakan untuk membentukkan dan mengelolakan gerakan proletariat.

Kaum Komunis hanya dibezakan daripada parti-parti kelas pekerja yang lain dengan ini:

  1. Dalam perjuangan kebangsaan proletariat di negara-negara berlainan, mereka menunjukkan dan mengutarakan kepentingan bersama seluruh proletariat, secara bebas dari kewarganegaraan.
  2. Dalam pelbagai tahap perkembangan yang harus dilalui oleh perjuangan kelas pekerja menentang borjuasi, mereka sentiasa dan di setiap tempat mewakili kepentingan gerakan tersebut secara menyeluruh.

Maka, kaum Komunis, dalam satu tangan, secara amalannya adalah bahagian yang paling maju dan paling tabah daripada parti-parti kelas pekerja di setiap negara, bahagian yang menolak ke hadapan setiap bahagian lain; dalam tangan sebelah, dari segi teori, mereka mempunyai kelebihan ke atas proletariat kerana mereka memahami dengan baik garis perjalanan, keadaan-keadaan, dan matlamat umum terakhir gerakan pekerja.

Tujuan jangka masa pendek bagi Komunis adalah sama dengan setiap parti proletariat yang lain: pembentukkan proletariat menjadi sebuah kelas, penumbangan kemaharajalelaan borjuasi, rampasan kuasa politik oleh proletariat.

Kesimpulan-kesimpulan teori kaum Komunis sama sekali tidak didasarkan pada idea-idea atau prinsip-prinsip yang telah direka, atau dijumpai, oleh salah seorang pembaharu dunia.

Ia hanya meluahkan, secara umum, hubungan-hubungan sebenar yang timbul dari perjuangan kelas yang sedia ada, yang timbul dari gerakan bersejarah yang berlangsung di hadapan mata kita sendiri. Pembasmian hubungan-hubungan harta yang sedia ada bukanlah sesuatu ciri yang istimewa bagi komunisme.

Segala hubungan harta pada masa dahulu sentiasa tertakluk kepada perubahan bersejarah yang bergantung kepada perubahan dalam keadaan-keadaan bersejarah.

Revolusi Perancis,[26] misalnya, telah membasmikan harta feudal demi kepentingan harta borjuasi.

Ciri istimewa komunisme bukanlah pembasmian harta secara umumnya, tetapi pembasmian harta borjuasi. Tetapi harta swasta borjuasi moden adalah peluahan terakhir dan paling sempurna bagi sistem yang mengeluarkan dan menambahkan hasil, yang berdasarkan kepada percanggahan kelas, pada pengeksploitasian golongan ramai oleh golongan kecil.

Dari segi ini, teori Komunis dapat disimpulkan dalam satu ungkapan: pembasmian harta swasta.

Kami, kaum Komunis, telah ditegur bahawa kami ingin membasmikan hak memiliki harta yang diraih hasil usaha seseorang itu sendiri, harta yang didakwa sebagai dasar bagi segala kebebasan, aktiviti dan kemerdekaan peribadi.

Harta yang diperolehi dengan membanting tulang, yang dirangkul sendiri, yang diraih dengan sah! Adakah anda maksudkan harta tukang kecil dan petani kecil-kecilan, sesuatu bentuk harta yang mendahului bentuk borjuasi? Itu tidak perlu dihapuskan; perkembangan industri sudah menghancurkan kebanyakan daripadanya, dan terus menghancurkannya setiap hari.

Atau adakah anda maksudkan harta swasta borjuasi moden?

Tetapi adakah usaha bergaji mendatangkan harta benda bagi pekerja? Tidak sedikit pun. Ia menciptakan kapital, iaitu jenis harta yang mengeksploitasikan tenaga pekerja bergaji, dan yang tidak dapat meningkat kecuali dengan syarat bahawa ia menghasilkan bekalan tenaga pekerja bergaji yang baru bagi pengeksploitasian baru. Harta, dalam bentuk mutakhir, didasarkan pada percanggahan di antara kapital dan tenaga pekerja bergaji. Biarlah kita mengkaji kedua-dua bahagian percanggahan ini.

Untuk menjadi seorang kapitalis, seseorang bukan sahaja harus mempunyai kedudukan peribadi, tetapi juga kedudukan sosial dalam pengeluaran. Kapital adalah hasil kolektif, dan hanya melalui tindakan bersama oleh kebanyakan ahli-ahli masyakarakat, malah pada peringkat terakhir, hanya melalui tindakan sepadu oleh semua ahli masyarakat, dapat ia digerakkan.

Maka, kapital bukanlah sesuatu kuasa peribadi, ia adalah kuasa sosial.

Maka, apabila kapital diubah menjadi harta bersama, menjadi harta kesemua anggota masyarakat, dengan itu harta peribadi tidak diubah menjadi harta sosial. Ia hanyalah sifat sosial harta benda yang diubah. Ia kehilangan sifat kelasnya.

Biarlah kita kini mengkaji tenaga pekerja bergaji.

Harga purata bagi tenaga pekerja bergaji adalah gaji minimum, iaitu jumlah bahan-bahan keperluan hidup yang diperlukan untuk mengekalkan kewujudan pekerja sebagai seorang pekerja dalam kehidupan sekadarnya. Maka, apa yang dimiliki oleh pekerja melalui usaha-usahanya hanya mencukupi untuk memanjangkan dan melanjutkan lagi kehidupan yang sekadarnya itu. Kami sama sekali tidak ingin membasmikan permilikan peribadi ke atas hasil-hasil tenaga pekerja, sesuatu pemilikan yang digunakan untuk mempertahankan dan melanjutkan kehidupan manusia, dan yang tidak meninggalkan lebihan yang dapat digunakan untuk menguasai tenaga pekerja orang lain. Yang ingin kami membasmikan hanyalah sifat melarat permilikan ini, di mana para pekerja hanya hidup untuk meningkatkan kapital, dan dibenarkan hidup selagi kepentingan kelas pemerintah memerlukannya.

Dalam masyarakat borjuasi, tenaga pekerja yang hidup hanyalah cara untuk meningkatkan tenaga pekerja yang diakumulasi. Dalam masyarakat komunis, tenaga pekerja yang diakumulasi adalah cara untuk meluaskan, untuk memperkayakan, untuk memajukan kewujudan pekerja.

Maka, dalam masyarakat borjuasi, masa yang lalu menguasai masa kini; dalam masyarakat komunis, masa kini menguasai masa yang lalu. Dalam masyarakat borjuasi, kapital adalah bebas dan mempunyai sifat individu, sambil manusia yang bekerja adalah tidak bebas dan tidak mempunyai sifat individu.

Dan penghapusan keadaan sebegini dikatakan, oleh borjuasi, adalah penghapusan keperibadian dan kebebasan! Dan sememangnya begitu. Penghapusan keperibadian borjuasi, kebebasan borjuasi, dan kemerdekaan borjuasi adalah apa yang disasarkan.

Dengan kebebasan adalah dimaksudkan, di bawah keadaan-keadaan pengeluaran borjuasi yang sedia ada, perdagangan bebas, penjualan dan pembelian bebas.

Tetapi jika penjualan dan pembelian melesap, penjualan dan pembelian bebas juga melesap. Desas-desus mengenai penjualan dan pembelian bebas, dan segala ‘kata-kata gagah’ lain dari borjuasi mengenai kebebasan secara umumnya, mempunyai maksud, jika ada, hanya jika dibandingkan dengan penjualan dan pembelian terhad, dengan pedagang-pedagang terbelenggu dari Zaman Pertengahan, tetapi tidak mempunyai maksud jika dihadapkan dengan pembasmian penjualan dan pembelian secara komunis, pembasmian keadaan-keadaan pengeluaran borjuasi, dan pembasmian borjuasi sendiri.

Anda berasa ngeri dengan keinginan kami membasmikan harta swasta. Tetapi dalam masyarakat anda yang sedia ada, harta swasta sudah dibasmikan bagi sembilan persepuluh daripada penduduk; kewujudannya bagi beberapa orang hanyalah kerana ketidak-wujudannya dalam tangan sembilan persepuluh itu. Maka, anda menegur kami kerana kami ingin membasmikan sesuatu bentuk harta, di mana keadaan asas bagi kewujudannya adalah ketidak-wujudan apa-apa harta bagi majoriti besar daripada masyarakat.

Pendek kata, anda menegur kami kerana kami ingin membasmi harta anda. Memang tepat; itulah yang kami inginkan.

Sejak ketika apabila tenaga pekerja tidak lagi dapat diubah menjadi kapital, wang, atau sewa, menjadi kuasa sosial yang dapat dimonopolikan, iaitu, sejak ketika harta peribadi tidak lagi dapat diubah menjadi harta borjuasi, menjadi kapital, dari ketika itu, anda berkata, sifat individu telah hilang.

Maka, anda harus mengakui bahawa yang anda maksudkan dengan ‘individu’ adalah tidak lain daripada seorang borjuasi, seorang pemilik harta kelas menengah. Orang ini mesti, sememangnya, disapu bersih dari jalan dan tidak diberikan peluang untuk wujud.

Komunisme tidak menghapuskan kemampuan seseorang untuk memiliki hasil-hasil masyarakat; apa yang dilakukkan hanyalah untuk menafikan seseorang itu kuasa untuk menakluki tenaga pekerja orang lain di bawah kuasanya dengan cara permilikian seperti itu.

Ia telah dibantah bahawa dengan pembasmian harta swasta, segala usaha akan tergendala, dan kemalasan umum akan bermaharajalela.

Menurut pendapat ini, masyarakat borjuasi tentunya sudah lama manjadi binasa kerana kemalasan semata-mata; kerana ahli-ahlinya yang bekerja tidak mendapat apa-apa, dan mereka yang mendapat sesuatu tidak bekerja. Seluruh bantahan ini hanyalah perluahan lain bagi kata-kata yang sama maksudnya: Bahawa tenaga pekerja bergaji tidak dapat wujud apabila tidak wujudnya kapital.

Kesemua bantahan yang diutarakan terhadap cara mengeluarkan dan memiliki harta benda materialis secara komunis telah, dengan cara yang sama, diutarakan terhadap cara pengeluaran dan permilikan hasil-hasil intelek secara komunis. Sebagaimana bagi kaum borjuasi, kelesapan harta kelas adalah kelesapan pengeluaran itu sendiri, maka kelesapan budaya kelas baginya adalah sama dengan kelesapan segala budaya.

Budaya tersebut, yang kehilangannya dia meratapi, adalah, bagi majoriti besar, hanya latihan untuk bertindak sebagai jentera.

Tetapi janganlah bertikam lidah dengan kami selagi anda mengenakan, kepada pembasmian harta borjuasi yang kami inginkan, anggapan-anggapan borjuasi anda mengenai kebebasan, budaya, undang-undang dan sebagainya. Idea-idea anda itu hanyalah cabang dari keadaan-keadaan pengeluaran borjuasi dan harta borjuasi, sebagaimana ilmu perundangan anda hanyalah kehendak kelas anda yang dijadikan undang-undang untuk semua, kehendak yang sifat serta tujuannya ditentukan oleh keadaan-keadaan kehidupan ekonomi kelas anda.

Anggapan mementingkan diri sendiri yang menyebabkan anda mengubah bentuk-bentuk sosial yang timbul dari cara-cara pengeluaran dan bentuk permilikan harta anda yang sedia ada – hubungan-hubungan bersejarah yang bangkit dan melesap dalam pergerakan pengeluaran – menjadi hukum alam dan hukum akal abadi, anggapan terpesong ini anda berkongsi dengan kesemua kelas pemerintah yang telah mendahului anda. Apa yang anda melihat dengan jelas dalam kes harta kuno, apa yang anda mengakui dalam kes harta feudal, anda sememangnya dilarang mengakui dalam kes bentuk harta borjuasi anda sendiri.

Penghapusan keluarga! Malah pihak yang paling radikal turut naik darah dengan cadangan terkenal Komunis ini.

Pada landasan apakah keluarga mutakhir, keluarga borjuasi, didasarkan? Pada kapital, pada hasil swasta. Dalam bentuknya yang telah berkembang sepenuhnya, keluarga ini hanya wujud di kalangan borjuasi. Tetapi keadaan ini menjumpai pelengkapnya dalam ketiadaan keluarga di kalangan proletariat, dan dalam pelacuran awam.

Keluarga borjuasi akan melesap dengan sendirinya apabila pelengkapnya melesap, dan kedua-duanya akan melesap dengan penghapusan kapital.

Adakah anda menuduh kami dengan keinginan menamatkan pengeksploitasian kanak-kanak oleh ibubapa mereka? Kepada jenayah ini, kami mengakui bersalah.

Tetapi, anda akan berkata, kami memusnahkan hubungan-hubungan yang paling mesra, apabila kami menggantikan pendidikan rumah dengan pendidikan sosial.

Dan pendidikan anda! Bukankah itu juga pendidikan sosial, dan ditentukan oleh keadaan-keadaan sosial di bawah mana anda mendidik, ditentukan oleh campur tangan, secara langsung atau tidak langsung, oleh masyarakat, oleh sekolah-sekolah dan sebagainya? Kaum Komunis tidak menciptakan campur tangan masyarakat dalam pendidikan; mereka hanya berusaha untuk mengubah sifat campur tangan itu, dan untuk menyelamatkan pendidikan dari pengaruh kelas pemerintah.

Perbincangan terpesong borjuasi mengenai keluarga dan pendidikan, mengenai ikatan mesra di antara ibubapa dan anak, dijadikan semakin menjijik oleh tindakan industri moden, segala hubungan kekeluargaan di kalangan proletariat diputuskan, dan kanak-kanak mereka diubah menjadi perkakas-perkakas bagi perdagangan dan peralatan untuk tenaga pekerja.

Tetapi anda Komunis ingin memperkenalkan kasih sayang percuma,[27] jeritnya seluruh borjuasi serentak.

Borjuasi memandang isterinya hanya sebagai peralatan pengeluaran. Dia mendengar bahawa peralatan-peralatan pengeluaran akan digunakan bersama, dan, sememangnya, tidak dapat tiba pada kesimpulan lain kecuali bahawa nasib dipergunakan bersama itu akan menimpa seluruh kaum perempuan.

Dia sama sekali tidak menduga bahawa sasaran sebenar yang diingini adalah untuk penghapusan kedudukan kaum perempuan sebagai peralatan untuk pengeluaran.

Bagi yang lain, tidak terdapat apa-apa yang lebih melucukan daripada keberangan borjuasi kita terhadap kasih sayang percuma, yang, mereka berpura-pura, akan diwujudkan secara terbuka dan rasmi oleh Komunis. Kaum Komunis tidak perlu memperkenalkan kasih sayang percuma; ia telah wujud sejak awal-awalnya lagi.

Borjuasi kita, tidak puas dengan mempunyai isteri-isteri dan anak-anak perempuan proletariat untuk kegunaan mereka, apatah lagi dengan pelacur awam, sangat gemar menggoda-goda isteri satu sama lain.

Perkahwinan borjuasi adalah dalam realiti sebuah sistem isteri-isteri bersama dan maka, paling sekali, apa yang Komunis mungkin dituduh adalah bahawa mereka ingin memperkenalkan sebuah sistem kasih sayang percuma yang sah, untuk menggantikan sistem yang disembunyikan secara hipokrit. Bagi yang lain, ia adalah jelas bahawa pembasmian sistem pengeluaran yang sedia ada sudah tentu akan membawa pembasmian kasih sayang percuma yang mengalir dari sistem tersebut, iaitu pelacuran dari segi awam dan peribadi.

Selanjutnya, Komunis dituduh dengan keinginan membasmikan negara-negara dan kewarganegaraan.

Para pekerja tidak mempunyai tanahair. Kita tidak dapat mengambil dari mereka apa yang mereka tidak memiliki. Oleh kerana proletariat pertama sekali mesti mencapai kekuasaan politik, mesti bangkit menjadi kelas yang memimpin sesebuah negara, mesti mewujudkan dirinya sebagai negara, maka ia, setakat ini, bersifat kebangsaan, walaupun bukannya dalam erti kata borjuasi.

Perbezaan dan percanggahan kebangsaan sedang melesap setiap hari, akibat perkembangan borjuasi, akibat kebebasan perdagangan, akibat pasaran sedunia, akibat keseragaman cara-cara pengeluaran dan keadaan-keadan kehidupan yang selaras dengan itu.

Kekuasaan proletariat akan menyebabkan ianya melesap dengan lebih laju lagi. Tindakan bersatu, sekurang-kurangnya oleh negara-negara bertamadun, adalah salah satu daripada keadaan utama bagi pembebasan proletariat.

Sambil pengeksploitasian seorang individu oleh seorang yang lain diakhiri, pengeksploitasian sesebuah negara oleh negara yang lain juga akan diakhiri. Sambil percanggahan di antara kelas-kelas dalam sesebuah negara melesap, permusuhan sesebuah negara terhadap negara yang lain juga akan diakhiri.

Tuduhan-tuduhan terhadap komunisme yang dikemukakan dari pendirian keagamaan, falsafah, dan, secara umumnya, dari pendirian ideologi tidak memerlukan kajian serius.

Adakah ia memerlukan naluri yang mendalam untuk memahami bahawa idea-idea, pandangan-pandangan dan konsep-konsep manusia, pendek kata, kesedaran manusia, berubah dengan setiap perubahan dalam keadaan-keadaan kewujudan materialisnya, dalam hubungan-hubungan sosialnya dalam kehiduapan sosialnya?

Apatah lagi yang dibuktikan oleh sejarah idea-idea melainkan bahawa pengeluaran intelek mengubah sifatnya sambil pengeluaran materialis juga diubah? Idea-idea berkuasa dalam setiap zaman sentiasanya adalah idea-idea kelas pemerintah.

Apabila orang berbicara mengenai idea-idea yang merevolusikan masyarakat, mereka hanyalah meluahkan fakta bahawa dalam masyarakat lama, unsur-unsur masyarakat baru telah diwujudkan, dan bahawa peleburan idea-idea lama berjalan selangkah dengan peleburan keadaan-keadaan kehidupan yang lama.

Ketika dunia kuno sedang mendekati akhir hayatnya, agama-agama kuno ditakluki oleh agama Kristian. Apabila idea-idea Kristian ditakluki pada abad ke-18 oleh idea-idea rasionalis, masyarakat feudal memperjuangkan pertempuran terakhirnya dengan borjuasi yang ketika itu bersifat revolusioner. Idea-idea kebebasan agama dan kemerdekaan suara hati hanya memberi perluahan kepada kekuasaan persaingan bebas dalam bidang ilmu pengetahuan.

“Tanpa dapat dielakkan,” ia akan diperkatakan, “idea-idea keagamaan, moral, falsafah dan ilmu perundangan telah diubahsuai dalam aliran perkembangan bersejarah. Tetapi agama, kemoralan, falsafah, sains politik dan undang-undang sentiasa selamat dari perubahan ini.

“Selain daripada itu, terdapatnya kebenaran-kebenaran abadi, seperti Kebebasan, Keadilan, dan sebagainya, yang serupa bagi kesemua keadaan masyarakat. Tetapi komunisme menghapuskan segala kebenaran abadi, ia menghapuskan segala agama, dan segala kemoralan, dan bukannya mendirkannya pada dasar baru; maka, ia bertindak dalam cara yang bertentangan dengan segala pengalaman bersejarah yang lalu.”

Apakah jadinya dengan tuduhan ini? Sejarah segala masyarakat lalu terdiri daripada perkembangan percanggahan kelas, percanggahan yang mengambil bentuk berbeza pada zaman-zaman yang berbeza.

Tetapi walau apapun bentuk yang diambilnya, satu fakta adalah serupa bagi setiap zaman yang lalu, iaitu berkenaan dengan pengeksploitasian satu bahagian masyarakat oleh bahagian yang lain. Maka, tidak menghairankan bahawa kesedaran sosial zaman-zaman dahulu, meskipun kepelbagaian dan keanekaan yang ia menunjukkan, bergerak dalam bentuk-bentuk tertentu yang serupa, atau dalam idea-idea umum, yang tidak dapat melesap sepenuhnya kecuali dengan kelesapan sepenuhnya percanggahan kelas.

Revolusi komunis adalah pemutusan yang paling radikal dengan hubungan-hubungan harta tradisional; tidak menghairankanlah bahawa perkembangannya melibatkan pemutusan yang paling radikal dengan idea-idea tradisional.

Tetapi marilah kita mengakhiri perbincangan mengenai bantahan-bantahan borjuasi terhadap komunisme.

Kita sudah melihat di atas bahawa langkah pertama dalam revolusi oleh kelas pekerja adalah untuk meningkatkan proletariat ke kedudukan kelas pemerintah, untuk memenangi pertempuran demokrasi.

Proletariat akan menggunakan kekuasaan politiknya untuk merampas, langkah demi langkah, semua kapital dari borjuasi, untuk memusatkan kesemua peralatan pengeluaran dalam tangan kerajaan, iaitu proletariat yang disusun sebagai kelas pemerintah; dan untuk meningkatkan jumlah kuasa pengeluaran dengan secepat mungkin.

Sememangnya, pada permulaannya, ini tidak dapat dilaksanakan kecuali dengan jalan-jalan masuk yang tidak berbelas kasihan menuju hak-hak pemilikan harta, dan menuju keadaan-keadaan pengeluaran borjuasi; maka, dengan tindakan-tindakan yang kelihatan tidak mencukupi dan tidak dipertahankan dari segi ekonomi, tetapi yang, sepanjang gerakan tersebut, melintasi dirinya sendiri, membawa keperluan bagi jalan-jalan masuk baru munuju susunan sosial lama, dan tidak dapat dielakkan sebagai cara untuk merevolusikan sepenuhnya cara-cara pengeluaran.

Tindakan-tindakan ini sememangnya akan berlainan di negara-negara yang berlainan.

Namun, di negara-negara yang paling maju, yang berikut secara umunya dapat diamalkan.

1.       Pembasmian harta dalam bentuk tanah dan penggunaan segala sewa tanah bagi kegunaan awam.
2.       Cukai pendapatan progresif atau berkecuraman berat.
3.       Pembasmian segala hak kewarisan.
4.       Rampasan segala harta penghijrah dan pemberontak.
5.       Pemusatan kredit dalan tangan kerajaan, melalui sebuah bank kebangsaan dengan kapital kerajaan dan monopoli eksklusif.
6.       Pemusatan peralatan komunikasi dan pengangkutan dalam tangan kerajaan.
7.       Perluasan kilang-kilang dan peralatan pengeluaran yang dimiliki oleh kerajaan; penggunaan tanah tandus untuk pertanian, dan pembaikan tanih secara umumnya mengikut rancangan bersama.
8.       Tanggungjawab yang sama bagi semua untuk bekerja. Pengasasan tentera-tentera perindustrian, terutamanya bagi bidang pertanian.
9.       Penggabungan pertanian dengan industri-industri pengeluaran; pembasmian perbezaan di antara desa dan bandar secara beransur-ansur, melalui pengagihan penduduk di merata negara yang lebih rata.
10.    Pendidikan percuma bagi semua kanak-kanak di sekolah awam. Pembasmian tenaga pekerja kanak-kanak di kilang dalam bentuk mutakhir. Penggabungan pendidikan dengan pengeluaran perindustrian, dan sebagainya.

Apabila, dalam aliran perkembangan, perbezaan-perbezaan kelas telah melesap, dan segala pengeluaran telah dipusatkan dalam tangan sebuah persekutuan luas dari seluruh negara, kuasa awam akan kehilangan sifat politiknya. Kuasa politik, menurut maksud sebenarnya, hanyalah kuasa tersusun salah satu kelas untuk menindas kelas yang lain. Jika proletariat semasa pertempurannya dengan borjuasi dipaksa, oleh tekanan keadaan, untuk mengatur dirinya sebagai sebuah kelas; jika, melalui jalan revolusi, ia menjadikan dirinya kelas yang berkuasa, dan, dengan itu, menghapuskan dengan kekerasan keadaan-keadaan pengeluaran yang lama, maka ia akan, bersama-sama dengan keadaan-keadaan ini, menghapuskan keadaan-keadaan bagi kewujudan percanggahan kelas dan kelas secara umumnya, dan dengan itu akan menghapuskan kekuasaannya sendiri sebagai sebuah kelas.

Di tempat masyarakat borjuasi lama, dengan kelas-kelas dan percanggahan kelasnya, kita akan mempunyai sesebuah persekutuan di mana perkembangan bebas bagi setiap individu menjadi syarat bagi perkembangan bebas semua orang. 


III. Kesusasteraan Sosialis dan Komunis[28]

1. Sosialisme Reaksioner

a. Sosialisme Feudal

Oleh kerana kedudukan bersejarah mereka, ia telah menjadi kerjaya bangsawan di Perancis dan England untuk menulis risalah-risalah menentang masyarakat borjuasi moden. Semasa Revolusi Perancis pada bulan Julai 1830, dan dalam gerakan reformasi Inggeris,[29] bangsawan ini sekali lagi tertakluk kepada orang yang tiba-tiba menjadi berkuasa lagi dibencikan itu. Sejak itu, perjuangan politik yang serius sama sekali tidak dapat dipertimbangkan. Hanya perjuangan kesusasteraanlah yang tidak mustahil. Tetapi dalam arena kesusasteraan pun, seruan-seruan lama dari zaman pemulihan[30] telah menjadi mustahil.

Untuk membangkitkan rasa simpati, kaum bangsawan tersebut terpaksa berpura-pura melupakan kepentingannya sendiri, dan merumuskan pendakwaan mereka menentang borjuasi demi kepentingan kelas pekerja yang dieksploitasi. Maka, kaum bangsawan membalas dendamnya dengan menyanyikan lagu-lagu penyindiran terhadap pemerintah mereka yang baru, dan membisikkan ke telinga pemerintah itu ramalam-ramalan buruk mengenai malapetaka yang akan datang.

Dengan cara ini timbullah sosialisme feudal: setengah keluhan, setengah penyindiran; setengah gema dari masa yang lalu, setengah ancaman masa depan; kadang-kala, dengan kritikannya yang pahit, cerdas, dan tajam, menusuk borjuasi tepat pada hatinya; tetapi sentiasa melucukan dalam kesannya, kerana ketidak-mampuan sepenuhnya untuk memahami perarakan sejarah moden.

Kaum bangsawan, untuk menghimpunkan rakyat jelata di sekeliling mereka, melambai-lambaikan beg pengemis proletariat di hadapan sebagai panji-panji. Tetapi rakyat jelata, yang sering-kala mengikuti mereka, melihat di belakang mereka lambang kebesaran feudal yang lama, dan meninggalkan mereka sambil berketawa kuat dan mengejek.

Sebahagian daripada Pengesah Perancis dan ‘England Muda’[31] mempamerkan pertunjukan ini.

Dalam menunjukkan bahawa cara pengeksploitasian mereka adalah berlainan daripada cara pengeksploitasian borjuasi, pihak feudalis melupai bahawa mereka mengeksploitasi di bawah keadaan-keadaan dan syarat-syarat yang agak berbeza, dan yang kini telah menjadi kuno. Dalam menunjukkan bahawa, di bawah pemerintahan mereka, proletariat moden tidak wujud sama sekali, mereka melupai bahawa borjuasi moden adalah anak kelahiran bentuk masyarakat mereka sendiri.

Bagi yang lain, mereka hanya sedikit menyembunyikan sifat reaksioner kritikan mereka sehingga tuduhan utama mereka terhadap borjuasi adalah seperti berikut, bahawa di bawah rejim borjuasi, sebuah kelas sedang berkembang, yang ditakdirkan memotong akar dan cabang susunan masyakarat yang lama.

Kemarahan mereka terhadap borjuasi bukanlah kerana mereka mewujudkan proletariat, tetapi kerana mereka mewujudkan proletariat revolusioner.

Maka, dalam amalan politik, mereka melibatkan diri dengan segala tindakan kekerasan terhadap kelas pekerja; dan dalam kehidupan biasa, walaupun mengucapkan ungkapan-ungkapan yang tinggi membumbung, mereka tidak berasa malu untuk memungut epal-epal emas yang dijatuhkan dari pokok industri, dan untuk menukarkan kebenaran, kasih sayang, dan kehormatan dengan perdagangan kain bulu biri-biri, gula ubi, dan minuman keras yang diperbuat daripada ubi.[32]

Sebagaimana pendeta sentiasa berjalan seiringan dengan tuan tanah, demikianlah juga sosialisme gereja dengan sosialisme feudal.

Tidak terdapat apa-apa yang lebih mudah daripada memberi warna sosialisme kepada pertapaan Kristian. Bukankah agama Kristian telah berdebat menentang harta swasta, menentang perkahwinan, menentang kerajaan? Bukankah ia telah berkhutbah demi kebajikan dan kemiskinan, pembujangan dan penahanan nafsu, kehidupan biara dan Ibu Gereja di tempat kesemua mereka ini? Sosialisme Kristian hanyalah air suci yang digunakan oleh pendeta untuk mentahbiskankan kesusahan kaum bangsawan.

b. Sosialisme Borjuasi Kecil

Bangsawan feudal bukanlah satu-satunya kelas yang telah dibinasakan oleh borjuasi, bukanlah satu-satunya kelas di mana keadaan-keadaan kewujudannya dirosakkan dan dihancurkan dalam atmosfera masyarakat borjuasi moden. Warga-warga kota dari Zaman Pertengahan dan petani pemilik kecil adalah pendahulu kepada borjuasi moden. Di negara-negara yang belum mencapai kemajuan, dari segi industri dan perdagangan, kedua-dua kelas ini masih hidup bersampingan dengan borjuasi yang masih bangkit.

Di negara-negara di mana tamadun moden telah berkembang sepenuhnya, sebuah kelas borjuasi kecil baru telah dibentukkan, yang bergolak di antara proletariat dan borjuasi dan sentiasa memperbaharui dirinya sebagai bahagian sampingan kepada masyarakat borjuasi. Namun, ahli-ahli individu dari kelas ini sentiasa dilontarkan ke kalangan proletariat oleh tindakan persaingan, dan, sambil industri moden berkembang, mereka melihat penghampiran ketika apabila mereka akan hilang sepenuhnya sebagai bahagian bebas dalam masyarakat moden, digantikan dalam bidang pengeluaran, pertanian dan perdagangan oleh pemerhati, pegawai dan pekedai.

Di negara-negara seperti Perancis, di mana kaum petani adalah lebih daripada separuh penduduk, ia adalah semulajadi bahawa penulis-penulis yang berpihak dengan proletariat menentang borjuasi menggunakan, dalam kritikan mereka terhadap rejim borjuasi, ukuran petani dan borjuasi kecil, dan dari sudut pandangan kelas-kelas pengantaraan ini, mengangkat belantan demi kelas pekerja. Maka bangkitlah sosialis borjuasi kecil. Sismondi[33] merupakan ketua sekolah ini, bukan sahaja di Perancis bahkan juga di England.

Sekolah sosialise ini telah membedah, dengan terperinci, percanggahan dalam keadaan-keadaan pengeluaran moden. Ia telah mendedahkan pemaafan hipokrit ahli-ahli ekonomi. Ia telah membuktikan, tanpa dapat dinafikan lagi, kesan-kesan yang membinasakan akibat jentera dan pembahagian tenaga pekerja, pemusatan kapital dan tanah dalam beberapa tangan sahaja, pengeluaran lebihan dan krisis-krisis; ia menunjukkan keruntuhan borjuasi kecil dan kaum petanu yang tidak dapat dielakkan, kemelaratan proletariat, anarki dalam bidang pengeluaran, ketidak-samarataan jelas dalam pengagihan kekayaan, peperangan pemusnahan dalam bidang perindustrian di antara negara-negara, pemansuhan ikatan-ikatan moral lama, hubungan-hubungan kekeluargaan lama, kewarganegaraan lama.

Namun, menurut matlamat-matlamat positifnya, bentuk sosialisme ini bertujuan antara untuk memulihkan cara-cara pengeluaran dan penukaran lama, dan dengan itu hubungan-hubungan harta lama dan masyarakat lama, atau untuk memuatkan cara-cara pengeluaran dan penukaran moden dalam bingkai hubungan-hubungan lama yang telah diletupkan, dan sudah pasti diletupkan, oleh cara-cara tersebut. Dalam mana-mana kes ini, ia bersifat reaksioner dan utopia.

Kata-kata terakhirnya adalah: tukang-tukang korporat untuk pengeluaran; hubungan patriarki dalam pertanian.

Akhirnya, apabila fakta-fakta bersejarah yang tidak dapat dibantah telah menghapuskan kesemua kesan penipuan diri sendiri yang memabukkan, bentuk sosialisme ini telah berakhir dengan penyakit sawan yang membinasakan.

c. Sosialisme Jerman atau Sosialisme ‘Sejati’

Kesusasteraan sosialis dan komunis Perancis, kesusasteraan yang dilahirkan di bawah tekanan borjuasi yang berkuasa, dan yang merupakan perluahan perjuangan menentang kuasa ini, diperkenalkan kepada Jerman pada masa apabila borjuasi di negara tersebut baru sahaja memulakan pertempurannya dengan  kemutlakan feudal.

Ahli-ahli falsafah Jerman, ahli-ahli separuh falsafah, beaux esprits,[34] dengan tidak sabar menggenggam kesusasteraan ini, sambil melupai bahawa apabila karya-karya tersebut dikeluarkan dari Perancis dan dihantar ke Jerman, keadaan-keadaan sosial Perancis tidak dihantar bersama dengannya. Berhadapan dengan keadaan-keadaan sosial Jerman, kesusasteraan Perancis ini kehilangan segala kepentingan amalan dan mengambil wajah kesusasteraan semata-mata. Maka, bagi ahli-ahli falsafah Jerman pada abad ke-18, tuntutan-tuntutan Revolusi Perancis pertama hanyalah tuntutan-tuntutan ‘Akal Praktis’ secara umum, dan kenyataan kehendak borjuasi revolusioner Perancis menandakan, dalam mata mereka, hukum-hukum kehendak tulin, kehendak seperti yang ia patut menjadi, kehendak manusia secara umumnya.

Karya-karya sasterawan Jerman hanya wujud dalam usaha membawa idea-idea Perancis baru tersebut ke dalam perpaduan dengan kesedaran falsafah kuno mereka, atau lebih tepat lagi, dalam merampas idea-idea Perancis tanpa mengabaikan pandangan falsafah mereka sendiri.

Rampasan ini berlaku dalam cara yang sama seperti sesebuah bahasa asing digunakan, iaitu oleh penerjemahan.

Ia diketahui ramai bahawa rahib-rahib telah menulis riwayat hidup Nabi-Nabi Katolik pada manuskrip-manuskrip yang mengandungi karya-karya klasik tamadun kuno yang tidak beragama. Sasterawan Jerman menerbalikkan proses ini dengan kesusasteraan duniawi Perancis. Mereka menulis falsafah-falsafah mereka yang tidak bermaksud itu di bawah tulisan-tulisan Perancis yang asal. Misalnya, di bawah kritikan Perancis terhadap fungsi-fungsi ekonomi wang, mereka menulis ‘alienasi umat manusia,’ dan di bawah kritikan Perancis terhadap kerajaan borjuasi, mereka menulis, ‘penghapusan kategori umum,’ dan sebagainya.

Pengenalan ungkapan-ungkapan falsafah ini di belakang kritikan-kritikan Perancis bersejarah mereka menamakan sebagai ‘Falsafah Tindakan,’ ‘Sosialisme Sejati,’ ‘Sains Jerman Mengenai Sosialisme,’ ‘Dasar Falsafah Mengenai Sosialisme,’ dan sebagainya.

Maka, kesusasteraan sosialis dan komunis Perancis dilemahkan sepenuhnya. Dan, oleh kerana ia tidak lagi meluahkan perjuangan satu kelas menentang kelas yang lain dalam tangan Jerman, dia berkeyakinan bahawa dia telah mengatasi ‘keberat-sebelahan Perancis,’ dan mewakili keperluan-keperluan Benar, bukannya keperluan-keperluan sebenar; bukannya bagi kepentingan proletariat, tetapi kepentingan sifat umat manusia, bagi manusia secara umum, yang tidak tertakluk kepada mana-mana kelas, tidak mempunyai realiti, yang wujud hanya dalam dunia fantasi falsafah yang kabur.

Sosialisme Jerman ini, yang telah menerima pendidikannya sebagai murid dengan serius dan berkhidmat, serta memuji-muji perdagangannya yang tidak berharga itu seperti penjual ubat, sementara itu kehilangan kemurniannya secara beransur-ansur.
  
Perjuangan Jerman ini, dan terutamanya perjuangan borjuasi Prusia, menentang bangsawan feudal dan pemerintahan di-raja mutlak, dalam erti kata lain, gerakan liberal, menjadi lebih sengit.

Dengan ini, peluang yang sudah lama diidamkan ditawarkan kepada Sosialisme ‘Sejati’ untuk menghadapi gerakan politik dengan tuntutan-tuntutan sosialis, untuk melontarkan kutukan-kutukan tradisional terhadap liberalisme, terhadap kerajaan perwakilan, terhadap persaingan borjuasi, kebebasan akhbar borjuasi, undang-undang borjuasi, kebebasan dan kesama-rataan borjuasi, dan untuk melaung kepada rakyat jelata bahawa mereka tidak mempunyai apa-apa untuk dinikmati dan kesemuanya dapat kehilangan akibat gerakan borjuasi ini. Sosialisme Jerman, yang hanyalah gema-gema kosong kritikan Perancis, melupai sebelum terlambat, bahawa kritikan-kritikan Perancis menganggap tanpa persoalan kewujudan masyarakat borjuasi moden, dengan keadaan-keadaan kewujudan dari segi ekonomi dan perlembagaan politik yang digubah bersesuaian dengannya, iaitu benda yang menjadi matlamat bagi perjuangan akan datang di Jerman.

Bagi kerajaan-kerajaan yang berkuasa mutlak, dengan pengikut-pengikut mereka yang terdiri daripada pendeta-pendeta, profesor-profesor, tuan-tuan tanah di desa dan pegawai-pegawai, Sosialisme ‘Sejati’ digunakan sebagai orang-orang yang menakutkan borjuasi yang semakin mengancam.

Ia menjadi buah mulut yang manis selepas kepedihan pukulan dan tembakan yang digunakan oleh pemerintah-pemerintah tersebut, justeru pada waktu itu, terhadap kebangkitan-kebangkitan kelas pekerja Jerman.

Sambil Sosialisme ‘Sejati’ ini digunakan oleh pemerintah-pemerintah sebagai senjata untuk menentang borjuasi Jerman, ia, pada masa yang sama, secara langsung mewakili kepentingan reaksioner, kepentingan filistin Jerman.[35] Di Jerman, kelas borjuasi kecil, pusaka dari abad ke-16, dan sejak itu sentiasa timbul semula dalam pelbagai bentuk, adalah dasar sosial sebenar bagi keadaan-keadaan yang sedia ada.

Untuk mengekalkan kelas ini adalah sama dengan mengekalkan keadaan yang sedia ada di Jerman. Kemaharajalelaan industri dan politik borjuasi mengancam kelas ini dengan kemusnahan yang sudah pasti berlaku – dalam satu tangan akibat pemusatan kapital, dan dalam tangan sebelah akibat kebangkitan proletariat revolusioner. Sosialisme ‘Sejati’ seolah-olah membunuh kedua-dua mangsa tersebut dengan satu pukulan. Ia menjalar seperti wabak.

Jubah yang diperbuat daripada sarang labah-labah spekulatif, disulam dengan bunga-bunga retorik, tercelup dalam embun perasaan hati yang menjijikkan, jubah khayalan ini yang digunakan oleh Sosialis Jerman untuk membaluti ‘kebenaran-kebenaran abadi’ mereka yang tidak berharga, yang hanya tinggal kulit dan tulang, digunakan untuk meningkatkan jualan barangan mereka di kalangan orang awam.

Dan pada pihaknya, sosialisme Jerman semakin menyedari seruannya sebagai wakil hebat bagi filistin borjuasi kecil.

Ia melaungkan negara Jerman sebagai negara teladan, dan filistin kecil Jerman sebagai manusia teladan. Kepada setiap kerendahan budi yang keji dari manusia teladan ini, ia memberikan pentafsiran sosialis yang tersirat, yang lebih tinggi, yang bertentangan dengan sifatnya yang sebenar. Ia telah bertindak dengan sedemikian jauh sehingga menentang aliran komunisme yang “sangat membinasakan,” dan melaungkan kebenciannya yang mutlak dan tidak berat sebelah terhadap setiap perjuangan kelas. Dengan hanya beberapa pengecualian, kesemua penerbitan yang kononnya bersifat sosialis dan komunis yang kini (1847) disebarkan di Jerman adalah kepunyaan arena kesusasteraan yang kotor lagi melemahkan ini.[36]


2. Sosialisme Konservatif atau Sosialisme Borjuasi

Sebahagian daripada borjuasi mempunyai kehendak untuk memperbaiki masalah-masalah sosial, untuk menjamin kewujudan berterusan bagi masyarakat borjuasi.

Dalam golongan ini termasuklah ahli-ahli ekonomi, dermawan, golongan berperikemanusiaan, pembaiki-pembaiki keadaan kelas pekerja, pengatur-pengatur kebajikan, ahli-ahli pertubuhan pencinta haiwan, fanatik penganut kesederhanaan, penyokong-penyokong reformasi tambal-sulam yang beraneka ragam. Bentuk sosialisme ini telah, lebih-lebih lagi, disusun menjadi sistem-sistem yang menyeluruh.

Kita mungkin memetik karya Proudhon, Philosphie de la Misère,[37] sebagai satu contoh bentuk ini.

Borjuasi sosialistik menginginkan segala kebaikan keadaan-keadaan sosial moden tanpa pertempuran dan kebahayaan yang timbul daripadanya. Mereka mengidamkan keadaan-keadaan masyarakat yang sedia ada tanpa unsur-unsur revolusioner dan yang mendatangkan kekacauan. Mereka menghendaki sebuah borjuasi tanpa proletariat. Borjuasi sememangnya memimpikan sebuah dunia di mana ia adalah yang paling baik; dan sosialisme borjuasi memperkembangkan konsep yang menyenangkan hati ini menjadi pelbagai sistem-sistem yang lebih kurang sempurna. Dalam memerlukan proletariat untuk melaksanakan sebuah sistem seperti itu, dan dengan itu berarak terus ke Jerusalem Baru, ia dalam realiti hanyalah memerlukan proletariat kekal dalam batasan masyarakat yang sedia ada, tetapi memerlukannya melepaskan segala idea-idea kebenciannya berkenaan dengan borjuasi.

Bentuk kedua dan lebih praktis daripada sosialisme seperti ini, tetapi yang kurang sistematik, mencuba memperkecil-kecilkan setiap gerakan revolusioner dalam mata kelas pekerja dengan menunjukkan bahawa bukan reformasi politik, tetapi hanya perubahan dalam keadaan-keadaan kewujudan materialis, dalam hubungan-hubungan ekonomi, dapat membawa manfaat bagi mereka. Namun, dengan perubahan keadaan-keadaan kewujudan materialis, bentuk sosialisme ini sama sekali tidak memahami penghapusan hubungan-hubungan pengeluaran borjuasi, sejenis penghapusan yang dapat dicapai hanya melalui revolusi; ia hanya memahami reformasi pentadbiran berdasarkan kewujudan hubungan-hubungan ini yang berterusan; maka, reformasi yang sama sekali tidak mempunyai kesan pada hubungan-hubungan di antara kapital dan tenaga pekerja, tetapi, paling sekali, mengurangkan kos dan menyenangkan tugas pentadbiran bagi kerajaan borjuasi.

Sosialisme borjuasi mencapai perluahan yang selarasnya apabila, dan hanya apabila, ia menjadi kiasan bahasa semata-mata.

Perdagangan bebas: demi kepentingan kelas pekerja. Tarif-tarif kawalan: demi kepentingan kelas pekerja. Reformasi penjara: demi kepentingan kelas pekerja. Inilah kata-kata terakhir dan satu-satunya yang dimaksudkan dengan serius oleh sosialisme borjuasi.

Ia dirumuskan dalam ungkapan: borjuasi adalah sebuah borjuasi – demi kepentingan kelas pekerja.


3. Sosialisme dan Komunisme Utopia-Kritikal

Kami di sini tidak merujuk kepada kesusasteraan yang, dalam setiap revolusi moden hebat, sentiasa memberikan suara kepada tuntutan-tuntutan proletariat, seperti karya-karya Babeuf[38] dan lain-lain.

Percubaan-percubaan secara langsung yang pertama oleh proletariat untuk mencapai matlamat-matlamatnya sendiri, yang dilaksanakan pada waktu-waktu kehebohan umum semasa masyarakat feudal sedang ditumbangkan, sememangnya gagal akibat keadaan proletariat yang, pada masa itu, belum maju, serta akibat ketidak-hadiran keadaan-keadaan ekonomi bagi pembebasannya, keadaan-keadaan yang belum dihasilkan, dan yang hanya dapat dihasilkan oleh zaman borjuasi yang akan datang itu. Kesusasteraan revolusioner yang mengiringi gerakan-gerakan proletariat awal ini sememangnya memiliki sifat reaksioner. Ia menyemai kemurnian umum dan penyama-rataan sosial dalam bentuk yang paling kasar.

Sistem-sistem sosialis dan komunis, yang dengan lebih tepat dinamakan sistem-sistem Saint-Simon, Fourier, Owen[39] dan lain-lain, diwujudkan pada awal zaman sebelum berkembangnya perjuangan di antara proletariat dan borjuasi, seperti yang dihuraikan di atas (lihat Bahagian I, ‘Borjuasi dan Proletariat’).

Pengasas sistem-sistem ini sememangnya dapat melihat percanggahan kelas, serta tindakan unsur-unsur yang menghancurkan masyarakat yang sedia ada. Tetapi proletariat, yang masih muda lagi, menawarkan kepada mereka gambaran sebuah kelas tanpa inisiatif bersejarah atau apa-apa gerakan politik bebas.

Oleh kerana perkembangan percanggahan kelas adalah sejajar dengan perkembangan industri, maka keadaan ekonomi, sebagaimana yang dijumpai oleh mereka, belum lagi menawarkan mereka keadaan-keadaan materialis bagi pembebasan proletariat. Maka, mereka mencari sains sosial baru, mencari hukum-hukum sosial baru, yang dapat mewujudkan keadaan-keadaan tersebut.

Tindakan bersejarah harus menundukkan diri kepada tindakan peribadi mereka; keadaan-keadaan pembebasan bersejarah menundukkan diri kepada keadaan-keadaan luarbiasa; dan pengaturan proletariat secara beransur-ansur harus menundukkan diri kepada pengaturan masyarakat yang diangan-angankan oleh pencipta-pencipta ini. Sejarah masa depan, menurut pandangan mereka, menjadi propaganda dan perlaksanaan rancangan-rancangan sosial mereka.

Dalam pembentukan rancangan-rancangan tersebut, mereka sedar akan keperluan-keperluan kelas pekerja, sebagai kelas yang paling menderita. Proletariat hanya wujud bagi mereka dari sudut pandangan kelas yang paling menderita.

Keadaan perjuangan kelas yang masih mundur, serta keadaan sekeliling mereka, menyebabkan sosialis jenis ini untuk menganggap diri mereka sebagai jauh lebih penting daripada percanggahan-percanggahan kelas. Mereka ingin memperbaiki keadaan setiap ahli masyarakat, termasuklah mereka yang paling beruntung. Maka, mereka dengan biasa merayu kepada masyarakat menyeluruh, tanpa perbezaan kelas; bahkan, dengan keutamaan, kepada kelas pemerintah. Kerana, bagaimanakah orang, apabila mereka sudah memahami sistem mereka, gagal melihatnya di dalamnya rancangan yang paling baik bagi keadaan masyarakat yang terbaik?

Maka, mereka menolak setiap tindakan politik, dan terumatanya segala tindakan revolusioner; mereka ingin mencapai matlamat mereka dengan cara-cara damai, dan berusaha, melalui eksperimen-eksperimen kecil yang sudah tentu akan gagal, untuk membuka jalan bagi ajaran sosial baru tersebut.

Gambaran-gambaran masyarakat masa depan yang luar biasa seperti itu, yang dilukiskan pada masa apabila proletariat masih berada dalam keadaan yang mundur dan hanya mempunyai konsep berkhayal mengenai kedudukannya sendiri, adalah sejajar dengan hasrat-hasrat naluri pertama dari kelas tersebut demi pembinaan semula masyarakat secara umum.

Tetapi terbitan sosialis dan komunis ini juga mengandungi unsur kritikal. Mereka menyerang setiap prinsip masyarakat yang sedia ada. Maka, ianya adalah penuh dengan bahan-bahan yang begitu bernilai bagi kemakrifatan kelas pekerja. Tindakan-tindakan praktis yang dicadangkan olehnya – seperti pembasmian perbezaan di antara bandar dan desa, penghapusan keluarga, penghapusan penggunaan industri untuk kepentingan individu swasta, dan penghapusan sistem bergaji, pengisytiharan perpaduan sosial, perubahan fungsi-fungsi kerajaan menjadi pengawas pengeluaran semata-mata – kesemua cadangan ini dihalakan pada penghapusan percanggahan kelas yang, pada masa itu, baru sahaja menimbul, dan yang, dalam terbitan tersebut, dikenali hanya dalam bentuknya yang awal, samar dan belum dijelaskan. Maka, cadangan-cadangan ini hanyalah bersifat utopia.

Kepentingan sosialisme dan komunisme utopia-kritikal mempunyai hubungan yang bertentangan dengan perkembangan sejarah. Sambil perjuangan kelas moden berkembang dan mengambil bentuk khusus, pendirian luarbiasa ini di luar perjuangan, serangan-serang luarbiasa padanya, kehilangan segala nilai amalan dan kemunasabahan teori. Maka, walaupun pengasas sistem-sistem ini adalah, dari pelbagai segi, bersifat revolusioner, pengikut-pengikut mereka, dalam setiap kes, telah menjadi golongan-golongan reaksioner. Mereka berpegang kuat kepada pandangan-pandangan asal guru-guru mereka, dalam tentangan terhadap perkembangan sejarah proletariat yang progresif. Maka, mereka berusaha secara berterusan untuk memadamkan perjuangan kelas dan untuk mendamaikan percanggahan-percanggahan kelas. Mereka masih memimpikan pelaksanaan eksperimen utopia sosial mereka, memimpikan pembentukan phalanstère terpulau, memimpikan pembentukan Home Colonies, dan pembentukan sebuah ‘Icaria Kecil’[40] – edisi-edisi Jerusalem Baru – dan untuk mewujudkan segala lamunan ini, mereka terpaksa merayu kepada perasaan dan dompet borjuasi. Secara beransur-ansur, mereka tenggelam ke dalam kategori sosialis konservatif reaksioner yang dihuraikan di atas, berbeza dengan mereka hanya kerana mereka berlagak pintar dengan lebih sistematik, dan kerana kepercayaan fanatik dan bersifat khayalan mereka pada kesan-kesan ajaib sains sosial.

Maka, mereka dengan ganas menentang segala tindakan politik oleh kelas pekerja; tindakan seperti itu, menurut mereka, hanya dapat berlaku dengan ketidak-percayaan buta pada ajaran baru tersebut.

Pengikut Owen di England, dan pengikut Fourier di Perancis, masing-masing menentang gerakan Cartis dan Réformistes.[41]

IV. Pendirian Komunis Berkenaan Dengan Pelbagai Parti Pambangkang

Bahagian II telah menjelaskan hubungan-hubungan Komunis dengan parti-parti kelas pekerja yang sedia ada, seperti gerakan Cartis di England dan gerakan Reformasi Pertanian di Amerika.[42]

Kaum Komunis berjuang untuk pencapaian matlamat-matlamat jangka masa pendek, untuk perlaksanaan kepentingan-kepentingan sementara kelas pekerja; tetapi dalam gerakan mutakhir, mereka juga mewakili dan menjaga masa depan gerakan tersebut. Di Perancis, Komunis bersekutu dengan pihak Demokrat Sosial,[43] menentang borjuasi konservatif dan radikal, tetapi dengan memegang teguh kepada hak untuk mengambil pendirian kritikal berkenaaan dengan ungkapan-ungkapan dan ilusi-ilusi yang diturunkan secara tradisional oleh Revolusi Besar.

Di Switzerland, mereka menyokong pihak Radikal, tanpa kehilangan pandangan pada fakta bahawa parti ini terdiri daripada unsur-unsur yang bercanggah, sebahagiannya Sosialis Demokratik, dalam erti kata Perancis, sebahagian lagi borjuasi radikal.

Di Poland, mereka menyokong parti yang mendorong revolusi pertanian sebagai keadaan utama bagi kemerdekaan kebangsaan, parti yang memulakan pemberontakan Krakow pada tahun 1846.[44]

Di Jerman, mereka berjuang bersama dengan borjuasi apabila borjuasi tersebut bertindak secara revolusioner, menentang pemerintahan di-raja mutlak, bangsawan feudal, dan borjuasi kecil.[45]

Tetapi mereka tidak pernah berhenti, walau buat seketika, menyemai ke dalam kelas pekerja kesedaran yang paling jelas mengenai percanggahan bermusuh di antara borjuasi dan proletariat, agar para pekerja Jerman dapat menggunakan, secara terus-menerus, keadaan-keadaan sosial dan politik yang perlu diperkenalkan oleh borjuasi bersama-sama dengan kekuasaannya, sebagai senjata terhadap borjuasi, dan agar, selepas penumbangan kelas-kelas reaksioner di Jerman, perjuangan menentang borjuasi itu sendiri dapat bermula dengan segera.

Komunis mengarahkan perhatian mereka khususnya pada Jerman, kerana negara itu berada pada malam sebelum revolusi borjuasi yang sudah tentu dilangsungkan di bawah keadaan-keadaan tamadun Eropah yang lebih maju, dan dengan proletariat yang jauh lebih maju daripada proletariat England pada abad ke-tujuhbelas, dan proletariat Perancis pada abad ke-lapanbelas, dan kerana revolusi borjuasi di Jerman akan menjadi pendahuluan bagi revolusi proletariat yang akan mengikutinya.

Pendek kata, kaum Komunis di merata-rata menyokong setiap gerakan revolusioner menentang sususan sosial dan politik yang sedia ada.

Dalam setiap gerakan ini, mereka membawa ke hadapan, sebagai persoalan utama dalam setiap gerakan, persoalan harta, tanpa mengira tahap perkembangannya pada masa itu.

Akhirnya, mereka berusaha di merata-rata demi persatuan dan persetujuan parti-parti demokratik di setiap negara.

Kaum Komunis enggan menyembunyikan pandangan dan matlamat mereka. Mereka, dengan terbuka, mengumumkan bahawa matlamat-matlamat mereka hanya dapat dicapai melalui penumbangan dengan kekerasan segala keadaan sosial yang sedia ada. Biarlah kelas-kelas pemerintah berasa gementar dengan revolusi Komunis. Kaum proletariat tidak mempunyai apa-apa untuk kehilangan melainkan belenggu mereka. Mereka mempunyai dunia untuk memenangi.

Kaum pekerja sedunia, bersatulah!


Lampiran


Keterangan kepada Edisi Jerman Tahun 1872


Liga Komunis, sebuah pertubuhan pekerja antarabangsa, yang sememangnya hanya dapat wujud sebagai sebuah pertubuhan sulit di bawah keadaan-keadaan pada masa itu, telah memberikan kami tanggungjawab, semasa Kongres yang diadakan di London pada bulan November 1847, untuk mengeluarkan untuk penerbitan rancangan teori dan amalan terperinci bagi parti tersebut. Begitulah asal-usul Manifesto yang berikutan, di mana manuskripnya dihantar ke London untuk dicetak beberapa minggu sebelum revolusi Februari.[46] Diterbitkan buat kali pertama di Jerman, ia telah diterbitkan semula dalam sekurang-kurangnya dua belas edisi yang berlainan di Jerman, England dan Amerika. Ia diterbitkan dalam Bahasa Inggeris buat kali pertama pada tahun 1850 dalam Red Republican[47] di London, diterjemahkan oleh Cik Helen Macfarlane, dan pada tahun 1871 dalam sekurang-kurangnya tiga penerjemahan yang berlainan di Amerika. Versi Perancis muncul buat kali pertama di Paris sebelum pemberontakan Jun pada tahun 1848 dan baru-baru ini dalam Le Socialiste di New York. Sesuatu penerjemahan baru sedang disiapkan. Versi Bahasa Poland muncul di London sejurus selepas ia diterbitkan buat kali pertama dalam Bahasa Jerman. Penerjemahan Rusia diterbitkan di Geneva pada tahun 1860-an. Ke dalam Bahasa Denmark, juga, ia telah diterjemahkan sejurus selepas kemunculan pertamanya.

Walau betapa banyaknya keadaan mungkin telah berubah dalam dua puluh lima tahun yang lalu, prinsip-prinsip asas yang diteraskan dalam Manifesto ini adalah, secara umumnya, setepat pada hari ini seperti dahulu. Di sini atau di sana, beberapa nota terperinci mungkin dapat diperbaiki. Pengamalan praktis prinsip-prinsip ini akan bergantung, seperti yang dijelaskan dalam Manifesto, di setiap tempat dan pada setiap masa, pada keadaan-keadaan bersejarah yang wujud pada masa itu, dan, oleh kerana itu, tidak terdapatnya tekanan pada langkah-langkah revolusioner yang diutarakan pada hujung Bahagian II. Petikan tersebut sudah tentu, dari pelbagai aspek, dapat dihuraikan dengan berbeza pada hari ini. Dengan langkah-langkah besar yang telah diambil oleh industri moden sejak tahun 1848, dan dengan itu pengaturan kelas pekerja yang diperbaiki dan diperluaskan, dan dengan pengalaman yang dirangkul, pertama sekali dalam revolusi Februari dan kemudiannya dalam Komun Paris, di mana proletariat buat kali pertama memegang kuasa politik selama dua bulan, isu-isu terperinci rancangan ini telah menjadi usang. Satu perkara khusus dibuktikan oleh Komun, iaitu berhubungan dengan fakta bahawa “kelas pekerja tidak dapat menguasai jentera kerajaan dan menggunakannya demi kegunaan sendiri.” (Lihat Perang Saudara di Perancis: Ucapan Majlis Umum Pertubuhan Pekerja Antarabangsa, London: Truelove, 1871, muka surat 15,[48] di mana isu ini diperkembangkan.) Lebih-lebih lagi, ia adalah jelas bahawa kritikan terhadap kesusasteraan sosialis tidak memadai pada masa ini, kerana ia hanya merangkumi karya-karya sehingga tahun 1847; juga, bahawa keterangan berkenaan dengan hubungan di antara Komunis dan parti-parti pembangkang yang lain (Bahagian IV), walaupun secara dasarnya memang tepat, dari segi amalan adalah usang, kerana keadaan politik telah berubah, dan kemaraan sejarah telah menghapuskan dari dunia kebanyakan parti-parti politik yang pernah diasaskan.

Tetapi, Manifesto ini telah menjadi dokumen bersejarah yang kami tidak lagi mempunyai hak untuk mengubah. Edisi selanjutnya mungkin timbul dengan keterangan yang menghubungkan jurang di antara tahun 1847 dan hari ini; pencetakan semula ini tidak disangka-sangka untuk membenarkan kami berbuat sedemikian.

Karl Marx dan Frederick Engels
London, 24hb Jun 1872.



Keterangan kepada Edisi Rusia Tahun 1882

Edisi Manifesto Parti Komunis dalam Bahasa Rusia yang pertama, diterjemahkan oleh Bakunin, diterbitkan pada awal tahun enam puluhan[49] oleh pejabat pencetak Kolokol.[50] Pada masa itu, dunia Barat hanya dapat melihatnya (iaitu edisi Manifesto dalam Bahasa Rusia) sebagai kesusasteraan yang luarbiasa. Pandangan seperti itu memang mustahil pada hari ini.

Betapa terhadnya ruang yang diduduki oleh gerakan proletariat pada masa itu (Disember 1847) ditunjukkan dengan paling jelas oleh bahagian terakhir dalam Manifesto: pendirian Komunis berkenaan dengan pelbagai parti pembangkang di negara-negara yang berlainan. Khususnya, Rusia dan Amerika Syarikat tidak terkandung dalam bahagian ini. Ia merupakan masa apabila Rusia merupakan bekalan besar terakhir bagi kesemua reaksi Eropah, apabila Amerika Syarikat menyerap kuasa-kuasa proletariat Eropah lebihan melalui imigrasi. Kedua-dua negara itu membekalkan Eropah dengan bahan-bahan mentah, dan pada masa yang sama, menjadi pasaran bagi jualan barangan perindustriannya. Maka, pada masa itu, kedua-dua negara itu menjadi, dalam satu cara atau cara yang lain, tonggak bagi susunan Eropah yang sedia ada.

Betapa berbezanya pada hari ini! Imigrasi Eropah melengkapi Amerika Utara dengan pengeluaran pertanian yang mahabesar, di mana persaingannya sedang menggegarkan dasar harta bangsawan Eropah – besar dan kecil. Tambahan pula, ia membenarkan Amerika Syarikat untuk mengeksploitasikan bekalan-bekalan perindustrian yang besar dengan sesuatu tenaga dan pada skala yang sudah tentu akan menghancurkan monopoli Eropah Barat tidak lama lagi, dan terutamanya monopoli England, yang wujud sehingga kini. Kedua-dua keadaan ini bereaksi dengan sifat revolusioner terhadap Amerika sendiri. Langkah demi langkah, permilikan tanah kecil dan sederhana oleh para petani, dasar bagi seluruh perlembagaan politiknya, sedang runtuh akibat persaingan petani-petani besar; pada masa yang sama, kaum proletariat dan pemusatan kapitalis yang luarbiasa sedang berkembang buat kali pertama di kawasan-kawasan perindustrian.

Dan kini Rusia! Semasa Revolusi 1848-49, bukan sahaja putera-putera Eropah, bakhan juga borjuasi Eropah, menjumpai penyelamat mereka dalam proletariat, yang baru sahaja membangun, dalam campur tangan Rusia. Pemerintah Tsar diisytiharkan sebagai ketua reaksi Eropah. Hari ini, dia adalah banduan peperangan revolusi, di Gatchina,[51] dan Rusia membentukkan barisan depan bagi tindakan revolusioner di Eropah.

Manifesto Komunis mempunyai sebagai matlamatnya laungan penghapusan harta borjuasi moden yang tidak dapat dielakkan. Tetapi di Rusia kita mendapati, bersemuka dengan tipu-helah kapitalis yang berkembang pesat dan harta tanah borjuasi yang mula berkembang, lebih separuh daripada tanah dimiliki bersama oleh para petani. Kini, persoalannya adalah: dapatkah obshchina [masyarakat desa], walaupun masih lemah, namun sejenis pemilikan bersama tanah zaman purba, dipindahkan secara langsung kepada bentuk permilikan bersama komunis yang lebih tinggi? Atau sebaliknya, perlukah ia dahulunya melalui proses pembasmian yang sama seperti yang berlaku dalam evolusi sejarah Barat?

Satu-satunya jawapan bagi persoalan itu yang dapat diajukan pada hari ini adalah: jika revolusi Rusia menjadi isyarat bagi revolusi proletariat di Barat, supaya kedua-keduanya menjadi pelengkap bagi satu sama lain, permilikan tanah Rusia yang sedia ada mungkin menjadi titik permulaan bagi perkembangan komunis.

Karl Marx dan Frederick Engels

London, 21hb Januari, 1882.

Keterangan kepada Edisi Jerman Tahun 1883

Keterangan bagi edisi ini saya perlu, malangnya, menandatangani keseorangan. Marx, orang yang paling berjasa bagi seluruh kelas pekerja Eropah dan Amerika lebih daripada sesiapa lagi – kini merehat di Kuburan Highgate dan pada kuburannya, rumput yang pertama sudah bertunas. Sejak peninggalannya, terdapatnya pengurangan dalam fikiran untuk mengubahsuai atau menambah kepada Manifesto. Lebih-lebih lagi, saya menganggap bahawa ia memang penting untuk menekan yang berikut:

Usulan asas yang mengalir melalui Manifesto – bahawa pengeluaran ekonomi dan struktur masyarakat pada setiap zaman sejarah yang semestinya timbul darinya adalah dasar bagi sejarah politik dan intelek bagi zaman tersebut; bahawa oleh kerana itu (sejak penghapusan pemilikan bersama tanah zaman purba), semua sejarah adalah sejarah perjuangan kelas, perjuangan di antara pengeksploitasi dan mereka yang dieksploit, di antara mereka yang dikuasai dan kelas-kelas penguasa pada tahap-tahap berlainan dalam perkembangan sosial; bahawa perjuangan ini, walaubagaimanapun, kini telah mencapai tahap di mana mereka yang dieksploitasi dan kelas yang ditindas (proletariat) tidak lagi dapat membebaskan dirinya daripada kelas yang mengeksploitasikan dan menindaskannya (borjuasi), tanpa pada masa yang sama membebaskan buat selama-lamanya masyarakat secara menyeluruh daripada pengeksploitasian, penindasan, dan perjuangan kelas – usulan asas ini adalah kepunyaan Marx seorang dan secara eksklusif.1

Saya telah menyatakan ini berkali-kala; tetapi khususnya sekarang ia adalah penting agar ia juga berdiri di hadapan Manifesto sendiri.

Frederick Engels

London, 28hb Jun, 1883.

Keterangan kepada Edisi Jerman 1890

Sejak yang di atas ditulis,[52] edisi Manifesto Jerman sekali lagi diperlukan, dan sudah banyak yang berlaku kepada Manifesto yang perlu direkodkan di sini.

Penerjemahan Rusia kedua – oleh Vera Zasulich – timbul di Geneva pada tahun 1882; keterangan bagi edisi tersebut ditulis oleh Marx dan saya sendiri. Malangnya, manuskrip asal Jerman telang dihilangkan; maka, saya perlu menerjemahkan semula dari Bahasa Rusia, yang sama sekali tidak akan memperbaiki karya ini. Ia dikatakan:

Edisi Manifesto Parti Komunis dalam Bahasa Rusia yang pertama, diterjemahkan oleh Bakunin, diterbitkan pada awal tahun enam puluhan oleh pejabat pencetak Kolokol. Pada masa itu, dunia Barat hanya dapat melihatnya (iaitu edisi Manifesto dalam Bahasa Rusia) sebagai kesusasteraan yang luarbiasa. Pandangan seperti itu memang mustahil pada hari ini.

Betapa terhadnya ruang yang diduduki oleh gerakan proletariat pada masa itu (Disember 1847) ditunjukkan dengan paling jelas oleh bahagian terakhir dalam Manifesto: pendirian Komunis berkenaan dengan pelbagai parti pembangkang di negara-negara yang berlainan. Khususnya, Rusia dan Amerika Syarikat tidak terkandung dalam bahagian ini. Ia merupakan masa apabila Rusia merupakan bekalan besar terakhir bagi kesemua reaksi Eropah, apabila Amerika Syarikat menyerap kuasa-kuasa proletariat Eropah lebihan melalui imigrasi. Kedua-dua negara itu membekalkan Eropah dengan bahan-bahan mentah, dan pada masa yang sama, menjadi pasaran bagi jualan barangan perindustriannya. Maka, pada masa itu, kedua-dua negara itu menjadi, dalam satu cara atau cara yang lain, tonggak bagi susunan Eropah yang sedia ada.

Betapa berbezanya pada hari ini! Imigrasi Eropah melengkapi Amerika Utara dengan pengeluaran pertanian yang mahabesar, di mana persaingannya sedang menggegarkan dasar harta bangsawan Eropah – besar dan kecil. Tambahan pula, ia membenarkan Amerika Syarikat untuk mengeksploitasikan bekalan-bekalan perindustrian yang besar dengan sesuatu tenaga dan pada skala yang sudah tentu akan menghancurkan monopoli Eropah Barat tidak lama lagi, dan terutamanya monopoli England, yang wujud sehingga kini. Kedua-dua keadaan ini bereaksi dengan sifat revolusioner terhadap Amerika sendiri. Langkah demi langkah, permilikan tanah kecil dan sederhana oleh para petani, dasar bagi seluruh perlembagaan politiknya, sedang runtuh akibat persaingan petani-petani besar; pada masa yang sama, kaum proletariat dan pemusatan kapitalis yang luarbiasa sedang berkembang buat kali pertama di kawasan-kawasan perindustrian.

Dan kini Rusia! Semasa Revolusi 1848-49, bukan sahaja putera-putera Eropah, bakhan juga borjuasi Eropah, menjumpai penyelamat mereka dalam proletariat, yang baru sahaja membangun, dalam campur tangan Rusia. Pemerintah Tsar diisytiharkan sebagai ketua reaksi Eropah. Hari ini, dia adalah banduan peperangan revolusi, di Gatchina, dan Rusia membentukkan barisan depan bagi tindakan revolusioner di Eropah.

Manifesto Komunis mempunyai sebagai matlamatnya laungan penghapusan harta borjuasi moden yang tidak dapat dielakkan. Tetapi di Rusia kita mendapati, bersemuka dengan tipu-helah kapitalis yang berkembang pesat dan harta tanah borjuasi yang mula berkembang, lebih separuh daripada tanah dimiliki bersama oleh para petani. Kini, persoalannya adalah: dapatkah obshchina, walaupun masih lemah, namun sejenis pemilikan bersama tanah zaman purba, dipindahkan secara langsung kepada bentuk permilikan bersama komunis yang lebih tinggi? Atau sebaliknya, perlukah ia dahulunya melalui proses pembasmian yang sama seperti yang berlaku dalam evolusi sejarah Barat?

Satu-satunya jawapan bagi persoalan itu yang dapat diajukan pada hari ini adalah: jika revolusi Rusia menjadi isyarat bagi revolusi proletariat di Barat, supaya kedua-keduanya menjadi pelengkap bagi satu sama lain, permilikan tanah Rusia yang sedia ada mungkin menjadi titik permulaan bagi perkembangan komunis.

Karl Marx dan Frederick Engels

London, 21hb Januari, 1882.


Lebih kurang pada masa yang sama, versi Bahasa Poland yang baru diterbiktkan di Geneva: Manifest Kommunistyczny.

Lebih-lebih lagi, penerjemahan Bahasa Denmark baru telah muncul dalam Social-demokratisk Bibliothek, Kjöbenhavn, 1885. Malangnya, ia tidak seberapa lengkap; beberapa petikan penting, yang agaknya memberikan kesulitan kepada penerjemahnya, telah diketepikan, dan lebih-lebih lagi, terdapat tanda-tanda kecuaian di beberapa tempat, yang lebih terang lagi kerana penerjemahan itu menunjukkan bahawa jika penerjemahnya memberikan perhatian yang lebih, dia sudah tentu akan menghasilkan penulisan yang begitu baik.

Versi Perancis baru diterbitkan pada tahun 1885 dalam Le Socialiste di Paris; ia adalah yang paling baik sehingga kini.

Dari penerjemahan terakhir ini, versi Bahasa Spanyol diterbitkan pada tahun yang sama, pertama sekali dalam El Socialista di Madrid, dan kemudiannya dikeluarkan semula dalam bentuk risalah: Manifesto del Partido Comunista por Carlos Marx y F. Engels, Madrid, Administración de El Socialista, Hernán Cortés 8.

Dengan perasaan ingin tahu, saya juga menyebut bahawa pada tahun 1887, manuskrip bagi penerjemahan bahasa Armenia ditawarkan kepada seorang penerbit di Konstantinople. Tetapi penerbit itu tidak cukup berani untuk menerbit sesuatu yang memiliki nama Marx, dan mencadangkan bahawa penerjemahnya menggunakan namanya sendiri sebagai penulis, yang, walaubagaimanapun, ditolak oleh penerjemah tersebut.

Selepas satu demi satu daripada penerjemahan Amerika yang lebih kurang tidak tepat dicetak semula di England, versi yang tulin akhirnya diterbitkan pada tahun 1888. Ini adalah oleh sahabat saya Samuel Moore, dan kami menelitinya bersama sekali lagi sebelum ia dihantar untuk dicetak. Ia bertajuk: Manifesto Parti Komunis, oleh Karl Marx dan Frederick Engels, Penerjemahan Inggeris Sah, disunting dan dinotakan oleh Frederick Engels, 1888, London, William Reeves, 185 Fleet Street, E. C. Saya telah menambahkan beberapa nota dari edisi tersebut kepada edisi ini.

Manifesto mempunyai sejarahnya tersendiri. Disambut dengan ghairah pada masa kemunculannya oleh barisan depan sosialis saintifik, yang pada masa itu sama sekali tidak berjumlah ramai (seperti yang dibuktikan oleh penerjemahan-penerjemahan yang disebut dalam keterangan pertama), ia kemudiannya dipaksa ke latarbelakang oleh reaksi yang bermula dengan kekalahan para pekerja Paris pada bulan Jun 1848, dan akhirnya disingkirkan “mengikut undang-undang” oleh penyabitan Komunis Cologne pada bulan November 1852. Dengan kelesapan gerakan pekerja yang telah bermula dengan Revolusi Februari dari pentas awam, Manifesto juga disingkirkan ke latarbelakang.

Apabila kelas pekerja Eropah sekali lagi mengumpulkan tenaga yang mencukupi untuk serangan baru terhadap kuasa kelas-kelas pemerintah, Pertubuhan Pekerja Antarabangsa diasaskan. Matlamatnya adalah untuk meleburi menjadi satu angkatan besar seluruh kelas pekerja militan Eropah dan Amerika. Maka, ia tidak dapat bermula dengan prinsip-prinsip yang diteraskan dalam Manifesto. Ia sudah tentu mempunyai rancangan yang tidak akan menutup pintu kepada kesatuan-kesatuan pekerja Inggeris, kaum Perancis, Belgium, Itali, dan penyokong Proudhon di Spanyol dan penyokong Lassalle[53] di Jerman. Rancangan ini – pendahuluan bagi Peraturan-Peraturan Internasional – ditulis oleh Marx dengan kecerdikan tinggi yang juga diakui oleh Bakunin dan kaum anarkis. Bagi kejayaan mutlak idea-idea yang diteraskan dalam Manifesto, Marx bergantung secara terus-menerus dan eksklusif kepada perkembangan intelek kelas pekerja, kerana ia semestinya muncul dari tindakan dan perbincangan sepadu. Peristiwa-peristiwa dan pergolakan-pergolakan dalam perjuangan menentang kapital, kekalahan lebih daripada kejayaan, hanya dapat menunjukkan kepada pejuang-pejuang kelemahan sehingga kini perubatan umum mereka dan membuat minda mereka lebih terbuka kepada pemahaman mendalam mengenai keadaan-keadaan sebenar bagi pembebasan pekerja. Dan Marx memang tepat. Kelas pekerja tahun 1874, semasa pembubaran Internasional, begitu berbeza daripada kelas pekerja tahun 1864, semasa pertubuhannya. Proudhonisme di negara-negara Latin dan Lasalleanisme khususnya di Jerman semakin pupus, dan malah kesatuan-kesatuan pekerja arko-konservatif Inggeris pada masa itu secara beransur-ansur mendekati tahap di mana pada tahun 1887, pengerusi Kongres Swansea dapat berucap sebagai wakil mereka, “Sosialisme Kebenuaan tidak lagi menakutkan kami.” Namun, menjelang tahun 1887, sosialisme Kebenuaan hampir secara eksklusif adalah teori yang dilaungkan dalam Manifesto. Maka, sehingga sesuatu tahap, sejarah Manifesto mencerminkan sejarah gerakan kelas pekerja moden sejak tahun 1848; pada ketika ini, ia sudah tentu karya sosialis yang paling luas disebarkan, dan yang paling bersifat antarabangsa, lalu menjadi dasar umum yang diakui oleh pekerja-pekerja dari Siberia ke Kalifornia.

Namun, pada masa apabila ia ditulis, kami tidak dapat memanggilnya sebuah manifesto sosialis. Pada tahun 1847, dua jenis pihak dianggap sebagai Sosialis. Dalam satu tangan adalah penganut sistem-sistem utopia yang berlainan, terutamanya penyokong Owen di England dan penyokong Fourier di Perancis, di mana kedua-dua mereka pada masa itu telah disingkirkan menjadi golongan-golongan yang semakin pupus. Dalam tangan sebelah, pelbagai jenis penyamar sosial yang ingin menghapuskan masalah-masalah sosial melalui kepelbagaian perubatan umum mereka dan segala jenis usaha jahitan, tanpa mencederai kapital dan keuntungan walau sedikit pun. Dalam kedua-dua kes ini, orang yang berdiri di luar gerakan pekerja dan yang mencari sokongan di kalangan kelas-kelas ‘berpendidikan.’ Namun, bahagian kelas pekerja yang menuntut pembinaan semula masyarakat secara radikal, yakin bahawa revolusi-revolusi politik tidak mencukupi, kemudian memanggil dirinya sebagai Komunis. Ia masihlah komunisme yang dikumpulkan bersama secara kasar, hanya mengikut naluri, dan seringkali agak lemah. Namun, ia cukup berkuasa untuk mewujudkan dua sistem komunis utopia – di Perancis, komunisme ‘Icaria’ oleh Cabet, dan di Jerman, komunisme Weitling. Sosialisme pada tahun 1847 menandakan sebuah gerakan borjuasi, komunisme pula, sebuah gerakan kelas pekerja. Sosialisme adalah, sekurang-kurangnya di Benua [Eropah], sesuatu yang agak dihormati, manakala komunsime bertentangan dengan itu. Dan kerana konsep kami, dari awal lagi, adalah bahawa “pembebasan kelas pekerja mestilah menjadi tindakan kelas pekerja sendiri,” ia sudah menjadi kepastian untuk menentukan nama yang akan dipupuk. Lebih-lebih lagi, kami tidak pernah menafikan konsep komunisme itu.

“Kaum pekerja sedunia, bersatulah!” Tetapi hanya beberapa suara membalas apabila kami melaungkan perkataan-perkataan ini kepada dunia empat puluh dua tahun yang lalu, sebelum Revolusi Paris yang pertama di mana proletariat muncul dengan tuntutan-tuntutannya sendiri. Namun, pada 28hb September 1864, proletariat dari kebanyakan negara Eropah Barat bergabung tangan dalam Pertubuhan Pekerja Antarabangsa dalam memori terulung. Benar, Internasional itu hanya wujud selama sembilan tahun. Tetapi kesatuan abadi proletariat dari semua negara yang diwujudkan olehnya masih hidup dan hidup dengan lebih kuat lagi, tidak terdapatnya saksi yang lebih baik daripada hari ini. Kerana hari ini,[54] sambil saya menulis ayat-ayat ini, proletariat Eropah dan Amerika sedang mengimbas kembali kuasa-kuasa perjuangannya, dimobilisasikan buat kali pertama, dimobilisasikan sebagai satu angkatan, di bawah satu bendera, untuk satu matlamat umum: hari bekerja lapan jam umun, untuk diteraskan oleh perlulusan undang-undang, seperti yang diisytiharkan oleh Kongres Geneva Internasional pada tahun 1866, dan sekali lagi oleh Kongres Pekerja Paris pada tahun 1889. Dan pertujukan hari ini akan membuka mata kapitalis dan tuan-tuan tanah di semua negara kepada fakta bahawa, pada hari ini, para pekerja di semua negara sememangnya bersatu.

Alangkah baiknya jika Marx berada di sisi saya untuk melihat ini dengan matanya sendiri!

Frederick Engels

London, 1hb Mei 1890.

Keterangan kepada Edisi Poland Tahun 1892

Fakta bahawa edisi Manifesto Komunis dalam Bahasa Poland diperlukan mengutarakan beberapa pendapat.

Pertama sekali, ia adalah penting bahawa sejak kebelakangan ini, Manifesto telah menjadi sebuah indeks, seolah-olahnya, bagi perkembangan industri berskala besar di benua Eropah. Sambil industri berskala besar berkembang di sesebuah negara, tuntutan untuk kemakrifatan berkenaan dengan kedudukan pekerja sebagai kelas pekerja berhubungan dengan kelas-kelas pemilik bertumbuh di kalangan pekerja di negara itu, gerakan sosialis juga menyebar di kalangan mereka dan tuntutan untuk Manifesto semakin meninkat. Maka, bukan sahaja keadaan gerakan pekerja bahkan juga tahap perkembangan industri berskala besar dapat ditafsirkan dengan ketepatan sederhana di setiap negara melalui jumlah naskah Manifesto yang disebarkan dalam bahasa negara tersebut.

Sehubungan dengan itu, edisi Poland baru menandakan kemajuan sebenar dalam industri Poland. Dan tidak dapat dinafikan bahawa kemajuan sejak edisi terakhir yang diterbitkan sepuluh tahun yang lalu, telah berlaku. Poland di bawah penjajahan Rusia, iaitu Poland Kongres, telah menjadi kawasan perindustrian besar bagi Empayar Rusia. Manakala industri berskala besar Rusia disebarkan luas – sebahagian di sekitar Teluk Finland, sebahagian lagi di pusat (Moskow dan Vladimir), sebahagian ketiga di perairan Laut Hitam dan Laut Azov, dan bahagian-bahagian lain di tempat lain lagi – industri Poland telah dimuatkan dalam kawasan yang agak kecil dan menikmati kebaikan dan kelemahan yang bangkit hasil daripada pemusatan seperti itu. Pengeluar-pengeluar Rusia yang bersaing mengakui kebaikan-kebaikannya apabila mereka menuntut tarif kawalan terhadap Poland, tanpa mengira hasrat ghairah mereka untuk mengubah rakyat Poland menjadi rakyat Rusia. Kelemahannya – bagi pengeluar-pengeluar Poland dan kerajaan Rusia – terteras dalam penyebaran pesat idea-idea sosialis di kalangan pekerja Poland dan dalam tuntutan untuk Manifesto yang semakin meningkat.

Tetapi perkembangan pesat industri Poland, melintasi industri Rusia, sebaiknya adalah bukti daya hidup subur rakyat Poland dan jaminan baru bagi pembaharuan negaranya yang tidak jauh. Dan pembaharuan sebuah Poland yang merdeka lagi kuat adalah benda yang bukan sahaja penting bagi rakyat Poland tetapi bagi kita semua. Kerjasama antarabangsa di antara negara-negara Eropah yang ikhlas hanya dapat berlaku jika negara-negara ini merdeka dalam rumah sendiri. Revolusi tahun 1848, yang berlaku di bawah panji-panji proletariat, sememangnya, hanya membenarkan pejuang-pejuang proletariat melakukan tugas borjuasi, juga menjamin kemerdekaan Itali, Jerman, dan Hungari melalui pelakon-pelakonnya, Louis Bonaparte dan Bismarck; tetapi Poland, yang sejak tahun 1792 telah melakukan lebih banyak bagi revolusi itu daripada ketiga-tiga negara itu bersama, dibiarkan dengan sumber-sumbernya sendiri apabila ia tumbang pada tahun 1863 kepada kuasa Rusia yang sepuluh kali lebih besar. Kaum bangsawan tidak dapat mengekalkan mahupun merampas kembali kemerdekaan Poland; pada hari ini, bagi kaum borjuasi, kemerdekaan ini, sekurang-kurangnya, adalah tidak penting. Namun, ia adalah penting bagi kerjasama makmur di antara negara-negara Eropah. Ia hanya dapat dicapai melalui proletariat Poland muda, dan dalam tangannya, ia adalah kukuh. Kerana pekerja-pekerja di Eropah memerlukan kemerdekaan Poland sebagaimana dengan para pekerja Poland sendiri.

Frederick Engels

London, 10hb Februari 1892.

Keterangan kepada Edisi Itali Tahun 1893

Kepada Pembaca Itali,

Penerbitan Manifesto Parti Komunis telah berlaku pada masa yang sama, seseorang mungkin berkata, dengan 18hb Mac 1848, iaitu hari revolusi di Milan dan Berlin, yang merupakan pemberontakan bersenjata oleh kedua-dua negara yang terletak di pusat, yang satu, pusat benua Eropah, dan yang satu lagi, pusat Mediterranean; dua negara yang sehingga itu dilemahkan oleh pembahagian dan masalah dalaman, dan maka, jatuh kepada penguasaan asing. Sambil Itali tertakluk kepada Maharaja Austria, Jerman mengalami pemerintahan Tsar Rusia, bukannya kurang mantap walaupun lebih secara tidak langsung. Kesan-kesan 18hb Mac 1848, membebaskan Itali dan Jerman daripada kemaluan ini; jika dari tahun 1848 sehingga 1871, kedua-dua negara terulung ini dibina semula dan sekali lagi dibiarkan bersendirian, ia adalah, sentiasa Karl Marx selalu berkata dahulu, kerana orang yang menindas Revolusi 1848 adalah penyabit mereka seandai-andainya.

Di merata-rata, revolusi itu adalah hasil usaha kelas pekerja; ia adalah mereka yang membina tambak-tambak dan membayar dengan darah kehidupan mereka. Hanya pekerja Paris, dengan menumbangkan kerajaan, mempunyai hasrat khusus untuk menumbangkan rejim borjuasi. Tetapi walaupun mereka menyedari percanggahan padah yang wujud di antara kelas mereka dan borjuasi, namun, kemajuan ekonomi negara tersebut mahupun perkembangan intelek para pekerja Perancis belum mencapai tahap yang mungkin membenarkan pembinaan semula sosial. Maka, dalam kajian terakhir, buah-buah revolusi dirangkul oleh kelas kapitalis. Di negara-negara lain, di Itali, di Jerman, di Austria, para pekerja, sejak awal-awal lagi, tidak melakukan apa-apa selain meningkatkan borjuasi sehingga kekuasaan. Tetapi di mana-mana negara, pemerintahan borjuasi adalah mustahil tanpa kemerdekaan kebangsaan. Maka, Revolusi 1848 terpaksa membawa dalam gerabaknya perpaduan dan kebebasan negara-negara yang belum mencapainya sehingga itu: Itali, Jerman, Hungari. Poland akan mengikuti langkah ini.

Maka, jika Revolusi 1848 bukannya revolusi sosialis, ia membuka jalan, menyediakan jalan bagi revolusi seperti itu. Melalui perangsang yang diberikan kepada industri berskala besar di setiap negara, rejim borjuasi dalam empat puluh lima tahun yang lalu telah di merata-rata mewujudkan sebuah proletariat yang besar, berpusat dan berkuasa. Maka, ia telah membangkitkan, untuk menggunakan bahasa Manifesto, penggali kuburannya sendiri. Tanpa mengembalikan kebebasan dan perpaduan kepada setiap negara, ia akan menjadi mustahil untuk mencapai kesatuan proletariat antarabangsa, atau kerjasama damai dan cergas di antara negara-negara ini menuju matlamat-matlamat bersama. Cuba bayangkanlah tindakan antarabangsa bersama oleh pekerja Itali, Hungari, Jerman, Poland, dan Rusia di bawah keadaan-keadaan politik sebelum tahun 1848!

Maka, pertempuran-pertempuran yang diperjuangkan pada tahun 1848 tidaklah diperjuangkan tanpa sebab. Malah, empat puluh lima tahun yang mengasingkan kita dari zaman revolusioner itu tidak berlalu tanpa sebab. Buah-buahnya sedang masak, dan saya hanya berharap agar penerbitan penerjemahan dalam bahasa Itali ini akan membawa kesan baik bagi kejayaan proletariat Itali sebagaimana penerbitan karya asalnya membantu revolusi antarabangsa.

Manifesto memberi keterangan mengenai peranan revolusioner yang dimainkan oleh kapitalisme pada masa yang lalu. Negara kapitalis pertama adalah Itali. Penutupan Zaman Pertengahan feudal dan pembukaan zaman kepitalis moden ditandakan oleh tokoh terkenal: seorang rakyat Itali, Dante, yang sekaligus merupakan penyair terakhir Zaman Pertengahan dan penyair pertama masa moden. Pada hari ini, seperti pada tahun 1300, zaman bersejarah baru sedang mendekati. Akankah Itali memberikan kita seorang Dante baru, yang akan menandakan waktu kelahiran era proletariat baru ini?

Frederick Engels

London, 1hb Februari 1893.


[1] Ini biasanya dianggap sebagai Keterangan terbaik Engels. Keterangan edisi-edisi lain terdapat dalam Lampiran di hujung penerjemahan ini [Nota penerjemah].

[2] Pada 23-26hb Jun 1949, para pekerja Perancis telah memberontak menentang penindasan kerajaan Perancis. Pemberontakan tersebut dihancurkan dengan ganas oleh kerajaan Perancis, tetapi merupakan konflik berskala besar pertama di antara kaum proletariat dan borjuasi [Nota penerjemah].

[3] Pierre Joseph Proudhon (1803-1865) merupakan ahli teori utama bagi aliran anarkisme. Idea-idea Proudhon sangatlah berleluasa semasa Komun Paris pada tahun 1871 dan juga mempengaruhi anarkisme aliran Bakunin, yang ditentang oleh Marx dan Engels dan Pertubuhan Pekerja Antarabangsa [Nota penerjemah].

[4] Lassalle, secara peribadi, sentiasa mengakui dirinya sebagai seorang pengikut Marx, dan, oleh yang demikian, berdiri pada dasar Manifesto. Tetapi dalam kegiatan awam, di antara tahun 1862-1864, dia tidak menuntut isu yang lebih daripada tuntutan bengkel-bengkel koperatif yang disokong oleh pembiayaan kerajaan [Nota Engels].


[5] Gerakan Lassalleanisme merupakan sesuatu aliran sosialis idealis yang seringkali menentang Marxsisme dan dinamakan bersempena dengan Ferdinand Lassalle. Mereka percaya bahawa kerajaan merupakan organ hak asasi dan keadilan, dan bahawa kejayaan proletariat hanya dapat dicapai melalui kerajaan yang sedia ada. Maka, revolusi bukan sahaja tidak diperlukan, tetapi dapat mengancam kejayaan proletariat [Nota penerjemah].

[6] Walaupun merupakan salah seorang musuh Marx dan Engels dalam gerakan kelas pekerja, Bakunin memahami kepentingan revolusioner yang terkandung dalam Manifesto Komunis. Diterbitkan di Geneva pada tahun 1869 (cetakan di Rusia tidak dibenarkan kerana penapisan kerajaan), penerjemahan Bakunin tidaklah lengkap dan digantikan sedekad kemudian oleh penerjemahan G. V. Plekhanov pada tahun 1882 [Nota penerjemah].

[7] Engels kemudiannya mengatakan dengan betul dalam keterangan kepada rencana ‘Hubungan Sosial di Rusia,’ diterbitkan dalam Internationales aus dem Volksstaat (1871-75) di Berlin pada tahun 1894, bahawa penerjemah sebenar adalah G. V. Plekhanov [Nota penerjemah].

[8] Akhbar mingguan yang diterbitkan di New York dari bulan Oktober 1871 sehingga Mei 1873 dalam Bahasa Perancis. Penerjemahan Manifesto Komunis diterbitkan pada bulan Januari-Mac 1872 [Nota penerjemah].
[9] The Condition of the Working Class in England in 1844. Oleh Frederick Engels. Diterjemahkan oleh Florence K. Wischnewetzky, New York: Lovell – London: W. Reeves, 1888 [Nota Engels].

[10] K. Marx dan F. Engels, Selected Works, Jilid 1 (Moskow, 1951), muka surat 468 [Nota penerjemah].
[11] Tsar merupakan pemerintah Rusia dari keluarga di-raja Romanoff. Lothar von Metternich (1773-1859) pula merupakan perdana menteri kerajaan Austria-Hungari, manakala Francois Guizot (1787-1874) merupakan perdana menteri Perancis [Nota penerjemah].

[12] Ini merujuk kepada pihak Demokrat-Republikan borjuasi pada ketika itu, yang menentang komunisme. Marrast adalah salah seorang daripada pengikut mereka yang terkenal [Nota penerjemah].
[13] Dengan borjuasi adalah dimaksudkan kelas kapitalis moden, iaitu pemilik cara-cara pengeluaran sosial dan pihak majikan bagi tenaga pekerja bergaji. Dengan proletariat adalah dimaksudkan kelas pekerja bergaji moden, yang, tanpa memiliki cara-cara pengeluaran mereka tersendiri, terpaksa menjual tenaga pekerja mereka untuk terus hidup [Nota Engels, Edisi Inggeris tahun 1888].

[14] Iaitu, segala sejarah bertulis. Pada tahun 1847, pra-sejarah masyarakat, pengaturan sosial yang wujud sebelum sejarah bertulis, belum diketahui. Sejak itu, August von Haxthausen (1792-1866) telah menemui pemilikan tanah bersama di Rusia, Georg Ludwig von Maurer pula telah menunjukkan bahawa ini adalah dasar sosial bagi permulaan setiap bangsa Teutonik, dan secara lazimnya, masyarakat-masyarakat perkampungan didapati adalah, atau pernah menjadi, bentuk masyarakat primitif dari India ke Ireland. Susunan dalaman masyarakat-masyarat primitif yang bersifat komunistik ini didedahkan, dalam bentuk biasa, oleh penemuan mahapenting Lewis Henry Morgan mengenai sifar sebenar gen dan hubungannya dengan puak. Dengan pembubaran kumpulan-kumpulan primitif ini, masyarakat mula dibahagikan kepada kelas-kelas yang berbeza dan akhirnya kelas-kelas bertentangan. Saya telah mencuba mengikuti proses pembubaran ini dalam: Der Ursprung der Familie, des Privateigenthums und des Staats [Asal-Usul Keluarga, Harta Swasta dan Kerajaan], Edisi Kedua, Stuttgart, 1886 [Nota Engels, Edisi Inggeris tahun 1888 dan Edisi Jerman tahun 1890 tanpa ayat terakhir].

[15] Kaum bangsawan dan golongan bawahan adalah kelas-kelas Rom kuno. Kaum bangsawan adalah kelas pemilik tanah besar yang menguasai tanah dan negara. Golongan bawahan pula adalah kelas wargakota yang bebas, tetapi tidak memliki hak sepenuhnya sebagai wargakota [Nota penerjemah].

[16] Ketua tukang, iaitu, seorang ahli penuh dalam sesebuah kesatuan tukang, seorang yang bermahir, bukannya ketua tukang tersebut [Nota Engels, Edisi Inggeris tahun 1888].

Ahli tukang merupakan seseorang yang bekerja secara bebas di bengkelnya sendiri dengan peralatan sendiri, biasanya dengan keluarganya sebagau pembantu. Kebanyakan mereka terlibat dalam kesatuan-kesatuan tukang yang mengawal harga barangan di Eropah semasa Zaman Pertengahan [Nota penerjemah].

[17] Feudalisme merupakan cara pengeluaran utama di Eropah semasa Zaman Pertengahan, dengan hierarki tuan dan bangsawan yang mentadbir, biasanya dengan raja di puncak masyarakat.
[18] ‘Komun’ adalah nama yang digunakan di Perancis oleh bandar-bandar awal sebelum mereka, sebagai ‘Golongan Ketiga,’ merampas hak kerajaan sendiri dan hak politik dari tuan-tuan feudal dan pemerintah-pemerintah mereka. Secara umumnya, bagi perkembangan ekonomi kaum borjuasi, England diambil di sini sebagai contoh biasa; bagi perkembangan politik, Perancis pula digunakan [Nota Engels, Edisi Inggeris tahun 1888].

Ini adalah nama yang diberikan kepada masyarakat-masyarakat perbandaran oleh warga-warga kota di Itali dan Perancis, selepas mereka membeli atau merampas hak-hak kerajaan sendiri dari tuan-tuan feudal mereka [Nota Engels, Edisi Jerman tahun 1890].

[19] ‘Golongan ketiga’ merujuk kepada pedagang-pedagang di bandar, iaitu kelas yang membayar cukai kepada pemerintahan di-raja Perancis, dan dibahagikan daripada ‘golongan pertama’ dan ‘golongan kedua,’ iaitu kaum bangsawan dan gereja, masing-masing [Nota penerjemah].

[20] Pemerintahan di-raja mutlak merupakan bentuk kerajaan yang biasanya dijumpai di Eropah di antara abad ke-16 dan ke-18, di mana raja memegang kuasa berpusat dan mutlak.
[21] Perpindahan bangsa-bangsa di Eropah dari abad ke-4 sehingga abad ke-6 Masihi [Nota penerjemah].

[22] Perjalanan salib merujuk kepada pengembaraan secara militan dan rampasan tanah di Timur Dekat di bawah kepimpinan Gereja Katolik dari abad ke-11 sehingga abad ke-13, dengan tujuan ‘membebaskan’ tanah suci di Palestin. Pelbagai kelas feudal mengambil bahagian dalam perjalanan ini, masing-masing dengan tujuan tersendiri [Nota penerjemah].
[23] Untuk keterangan lanjut, lihat pendahuluan Engels dalam karya Marx bertajuk Wage Labour and Capital (1891) dalam K. Marx dan F. Engels, Selected Works, Edisi Inggeris, Jilid 1 (Moskow, 1951), muka surat 66-73 [Nota penerjemah].
[24] Yang dimaksud di sini adalah gerakan Luddite di England dan penenun Silesia di Jerman [Nota penerjemah].
[25] Dinamakan lumpenproletariat dalam Bahasa Jerman. ‘Lumpen’ menurut maksud sebenarnya adalah ‘kain atau pakaian yang sudah menjadi reput’ [Nota penerjemah].
[26] Ini merujuk kepada Revolusi Besar Perancis yang bermula pada tahun 1789 dan yang menumbangkan pemerintahan di-eraja mutlak dan kekuasaan kaum bangsawan Perancis [Nota penerjemah].
[27] Dalam Bahasa Jerman, perkataan ini adalah Weibergemeinschaft, yang dapat diterjemahkan sebagai isteri bersama. Edisi Bahasa Inggeris menggunakan ungkapan community of women atau ‘masyarakat perempuan’ untuk menghuraikan perkataan Jerman tersebut [Nota penerjemah].
[28] Bahagian dalam Manifesto Komunis ini mengutarakan kritikan terhadap aliran-aliran sosialis pada hujung tahun 1840-an. Di sebalik tabir sebahagian besar daripada gerakan-gerakan tersebut, tersembunyinya kepentingan kelas yang sebenarnya memusuhi proletariat [Nota penerjemah].

[29] Revolusi Julai di Perancis yang menumbangkan kekuasaan tuan-tuan tanah besar dan menyerahkan kekuasan itu kepada borjuasi besar (kerajaan bulan Julai tersebut diketuai oleh Louis Philippe dari dinasti Orleans). Di England, Akta Reformasi pada tahun 1832 menandakan pemindahan kekuasaan kepada borjuasi besar yang menguasai perdagangan dan industri [Nota penerjemah].

[30] Bukannya Pemulihan Inggeris dari tahun 1660 sehingga 1689, tetapi Pemulihan Perancis dari tahun 1814 sehingga tahun 1830 [Nota Engels, Edisi Inggeris tahun 1888].

[31] Pengesah Perancis merupakan sebuah kumpulan pemilik tanah bangsawan, yang menyeru pemulihan dinasti di-raja Bourbon yang ‘sah.’ Dalam perjuangan mereka menentang dinasti Orleans yang berkuasa, sebahagian daripada Pengesah ini mengajukan diri mereka sebagai wakil kelas pekerja, menentang pengeksploitasian oleh borjuasi perindustrian baru. England Muda pula merupakan sekumpulan bangsawan Konservatif Inggeris dan ahli-ahli politik serta kesusasteraan yang ditubuhkan lebih kurang pada tahun 1842. Tokoh-tokoh terkenal di kalangan mereka termasuklah Benjamin Disraeli dan Thomas Carlyle. Tidak berpuas hati dengan kekuatan borjuasi yang semakin bertumbuh, kumpulan ini merayu kepada kelas pekerja dalam perjuangan mereka menentang borjuasi [Nota penerjemah].


[32] Ini adalah berkenaan utamanya dengan Jerman, di mana kaum bangsawan dan pemilik tanah menggunakan bahagian-bahagian besar daripada ladang-ladang mereka untuk kegunaan sendiri, dan lebih-lebih lagi, merupakan pengeluar gula ubi dan penyuling minuman keras yang diperbuat daripada ubi. Bangsawan Britain yang lebih kaya daripada itu, setakat ini, lebih tinggi daripada itu; tetapi mereka juga memahami bagaimana mendapat keuntungan sambil sewa semakin menurun dengan meminjamkan nama mereka kepada pembiaya syarikat-syarikat saham bersama yang lebih kurang tidak dapat dipercayai. [Nota Engels dalam edisi 1888].

[33] Sismondi merupakan seorang ahli ekonomi dari Switzerland dan pengkritik sistem kapitalis [Nota penerjemah].
[34] Edisi Bahasa Inggeris menggunakan istilah ‘golongan penulis karya,’ tetapi istilah dari Bahasa Perancis ini mungkin lebih tepat diterjemahkan sebagai ‘jiwa-jiwa berbakat,’ seperti yang digunakan dalam Edisi Bahasa Indonesia [Nota penerjemah].
[35] Filistin adalah istilah yang pada mulanya digunakan oleh mahasiswa-mahasiswa Jerman untuk menggambarkan penduduk bandar di universiti-universiti mereka. Secara beransur-ansur, ia digunakan untuk merujuk kepada orang yang tidak mempunyai perhatian terhadap ilmu intelek sama sekali. Ia mungkin juga dapat dimaksudkan orang yang terlalu mementingkan hal-hal kebendaan [Nota penerjemah].
[36] Ribut revolusioner pada tahun 1848 telah menyapu bersih segala aliran kotor ini dan menyembuh pengaju-pengajunya dari keinginan seterusnya untuk melibatkan diri dalam sosialisme. Wakil utama dan jenis klasik aliran ini adalah Encik Karl Grün [Nota Engels, Edisi Jerman tahun 1888].

[37] Dalam Bahasa Malaysia, karya tulisan Proudhon pada tahun 1847 ini dapat diterjemahkan sebagai ‘Falsafah Kemiskinan.’ Marx kemudiannya telah menulis karyanya sendiri dengan tajuk Kemiskinan Falsafah untuk mengkritik dan mendedahkan pandangan idealis serta reformasi-filistin Proudhon [Nota penerjemah].
[38] Gracchus Babef (1760-1797) pernah mengatur rancangan sulit yang terdiri daripada beberapa penyokong demokrasi sayap kiri menentang pedagang-pedagang besar yang memerintah Perancis selepas penumbangan Pemerintahan Jacobin. Tujuannya adalah untuk mendirikan sebuah pemerintahan rakyat sebagai persediaan untuk melaksanakan hak permilikan kebangsaan ke atas tanah. Dia akhirnya ditahan pihak berkuasa dan dihukum mati [Nota penerjemah].

[39] Comte Claude Henri de Ronvroy Saint-Simon (1760-1825) merupakan seorang ahli sosialis Utopia Perancis yang mengambil bahagian dalam Perang Kemerdekaan Amerika Syarikat dan mengajukan kajian alam semesta. Dia percaya bahawa alam dan masyarakat dibentukkan oleh hukum-hukum, dan bahawa sejarah hanya dapat difahami melalui hukum-hukum ini. Dia terlibat dalam aliran materialis semasa Zaman Makrifat dan telah mempengaruhi perkembangan falsafah Eropah Barat pada abad ke-19. Francois Charles Fourier (1772-1837) pula merupakan seorang sosialis Utopia Perancis yang mengkritik masyarakat borjuasi yang dilahirkan oleh Revolusi Perancis Besar. Dia akhirnya menarik kesimpulan bahawa sebuah sistem sosial yang dapat memenuhi dan memuahkan ‘keghairahan’ manusia perlu menggantikan sistem borjuasi, dan mengajukan contoh usaha koperatif yang dapat meningkatkan kekayaan materialis dan mengagihkan kekayaan tersebut mengikut sumbangan setiap satu. Akhir sekali, Robert Owen (1771-1851) merupakan seorang usahawan industri dan pengaju reformasi sosial. Dia membentukkan masyarakat perindustrian teladan di New Lanark, Scotland, dan menerajui masyarakat-masyarakat koperatif. Frederick Engels pernah menulis mengenai ketiga-tiga mereka dalam Sosialisme: Utopia dan Saintifik, dalam K. Marx dan F. Engels, Selected Works, Jilid 3 (Moskow, 1970), muka surat 95-151 [Nota penerjemah].




[40] Phalanstère adalah daerah-daerah sosialis berdasarkan rancangan Charles Fourier; Icaria adalah nama yang diberikan oleh Cabet kepada Utopia-nya tersendiri dan, kemudiannya, kepada daerah komunis-nya di Amerika [Nota Engels, Edisi Inggeris tahun 1888].

Home colonies adalah nama yang Owen memberikan kepada masyarakat-masyarakat komunis teladan yang diasaskannya [Nota Engels, Edisi Jerman tahun 1890].
[41] Gerakan Cartis adalah gerakan politik kelas pekerja yang pertama, yang mengumumkan matlamat-matlamatnya dalam Piagam Rakyat – atau People’s Charter – pada tahun 1838. Mereka mengaturkan demonstrasi besar-besaran serta surat-surat rayuan yang meliputi seluruh Britain. Di antara yang lain, mereka menuntut hak-hak politik untuk semua orang yang berumur dua puluh satu tahun ke atas. Marx dan Engels terlibat dengan gerakan Cartis, menulis rencana bagi terbitan mereka, dan juga dipengaruh oleh idea-idea Cartis. Gerakan Réformiste pula merujuk kepada pengikut-pengikut suratkhabar La Réforme, yang diterbitkan di Perancis dari tahun 1843 sehingga 1850 [Nota penerjemah].
[42] Yang dimaksudkan adalah pengikut-pengikut suratkhabar La Reforme, yang diterbitkan di Paris dari tahun 1843 sehingga 1850, serta Pertubuhan Reformasi Kebangsaan, yang diasaskan pada tahun 1845 oleh pekerja dan tukang Amerika Syarikat. Ia menentang penghambaan dan pemilik ladang-ladang besar, serta menuntut hari bekerja sepuluh jam [Nota penerjemah].

[43] Parti yang pada masa itu diwakili dalam Parlimen oleh Ledru-Rollin, dalam kesusasteraan oleh Loius Blanc, dalam akhbar harian oleh Réforme. Nama Demokrasi Sosial menandakan, dengan pencipta-penciptanya, segolongan parti Demokratik atau Republikan yang lebih kurang diwarnai dengan sosialisme [Nota Engels, Edisi Inggeris tahun 1888].

[44] Pemberontakan Krakow pada bulan Januari 1846 diaturkan oleh ‘Perhimpunan Demokratik Poland,’ yang diasaskan pada tahun 1832 dan merupakan sebuah pertubuhan bangsawan kecil Poland yang menentang penindasan Poland oleh Rusia, Austria dan Prusia. Rancangannya melibatkan tuntutan demi kebebasan kaum petani dari belenggu penghambaan di samping tuntutan-tuntutan untuk penubuhan sebuah republik [Nota penerjemah].

[45] Kleinbürgerei dalam bahasa Jerman asal. Marx dan Engels menggunakan istilah ini untuk menghuraikan unsur-unsur reaksioner dalam borjuasi kecil bandar [Nota penerjemah].
[46] Revolusi Februari di Perancis, pada tahun 1848 [Nota penerjemah].

[47] Akhbar mingguan Cartis yang diterbitkan oleh George Julian Harney dari bulan Jun sehingga November 1850. Ia mengandungi versi pendek Manifesto Komunis dalam isu bernombor 21-24, November 1850 [Nota penerjemah].

[48] K. Marx dan F. Engels, Selected Works, Jilid 1 (Moskow, 1951), muka surat 468 [Nota penerjemah].
[49] Edisi yang dirujuk kepada di sini diterbitkan pada tahun 1869. Dalam Keterangan Engels kepada edisi 1888, tarikh penerbitan bagi penerjemahan Manifesto dalam Bahasa Rusia ini juga diberikan yang salah [Nota penerjemah].

[50] Rujukan kepada Balai Terbitan Rusia Bebas, yang diasaskan oleh Alexander Herzen dan yang menerbitkan akhbar Kolokol [Nota penerjemah].

[51] Rujukan kepada peristiwa yang berlaku di Rusia selepas pembunuhan Maharaja Alexander II pada 1hb Mac 1881 oleh ahli-ahli Narodnaya Volya. Alexander III, pengganti Maharaja itu, menetap di Gatchina kerana menakuti tindakan keganasam baru [Nota penerjemah].

1 “Prinsip ini,” saya menulis dalam keterangan bagi penerjemahan Inggeris, “yang, pada pendapat saya, akan mengubah sejarah seperti teori Darwin telah mengubah biologi, telah kami, kami berdua, mendekati selama beberapa tahun sebelum tahun 1845. Sejauh mana saya telah berkembangan dengannya dihuraikan dengan baik oleh karya saya bertajuk Condition of the Working Class in England. Tetapi apabila saya bertemu sekali lagi dengan Marx di Brussels pada musim bunga tahun 1845, dia sudah meneliti, dan menulisnya sebelum saya, dalam konsep-konsep yang sejelas huraian saya di sini.” [Nota Engels dalam edisi 1890.]

[52] Engels merujuk kepada keterangan dalam edisi tahun 1883 [Nota penerjemah].
[53] Lassalle, secara peribadi, sentiasa mengakui dirinya sebagai seorang pengikut Marx, dan, oleh yang demikian, sememangnya berdiri pada dasar Manifesto. Perihalnya agak berbeza berkenaan dengan penyokong-penyokongnya yang tidak melintasi tuntutannya untuk koperatif pengeluar yang disokong oleh kredit kerajaan dan yang membahagikan seluruh kelas pekerja menjadi penyokong bantuan kerajaan dan penyokong bantuan sendiri [Nota Engels].

[54] Keterangan ini ditulis oleh Engels pada 1hb Mei 1890, apabila, seiras dengan keputusan Kongres Paris anjuran Internasional Kedua (Julai 1889), demonstrasi, permogokan dan mesyuarat diadakan di beberapa negara Eropah dan Amerika Utara. Para pekerja mengajukan tuntutan demi hari bekerja lapan jam dan tuntutan-tuntutan lain yang dihasilkan oleh Kongres Paris. Sejak hari itu, para pekerja di merata dunia meraikan 1hb Mei sebagai hari perpaduan proletariat antarabangsa [Nota penerjemah].